Rohaniza Idris

Kuala Lumpur: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan keputusan rasmi pemilihan PKR kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

Menurutnya, beliau masih menunggu keputusan JPP sama ada keputusan beberapa cabang yang tidak dapat diputuskan itu mahu diadakan semula pengundian atau apa-apa keputusan pada pengundian itu diterima atau sebaliknya.

“Saya serahkan kepada JPP kerana kita mahu pemilihan ini dijalankan secara bebas,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program Program Astro Junior Championships U15 di Stadium Juara, Kompleks Sukan Bukit Kiara di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan mengenai tindakan calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mendakwa mengekalkan jawatannya pada pemilihan PKR yang berakhir, semalam.

Mohamed Azmin dalam akaun Twitter miliknya mengucapkan terima kasih kepada ahli PKR yang bersama ‘membingkai’ muafakat untuk meneruskan agenda reformasi tulen.

Sementara itu, keputusan akhir tidak rasmi yang dimuatnaik dalam akaun Twitter ‘Pemilihan Keadilan 2018’, turut menyatakan Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, mengekalkan kedudukan sebagai Timbalam Presiden selepas memperoleh 70,550 undi mengatasi Rafizi yang mendapat 66,594 undi.

Twitter itu berkata, semua keputusan akhir tidak rasmi disiarkan dalam Twitter itu tidak termasuk 1,718 undi di Pensiangan, Sabah yang belum diselaraskan dengan data di Cloud dan jumlah undi di Julau, Sarawak.

Semalam, JPP dalam laman web Pemilihan Keadilan2018 mengumumkan keputusan pengundian pemilihan di Julau dan Tawau tidak dapat diumumkan.

Ditanya sama tindakan Mohamed Azmin mengumumkan kemenangannya itu dibenarkan, beliau berkata, pemilihan itu belum sampai ke penghujungnya dan keputusan rasmi diumumkan JPP.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 10:04 AM