GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan beliau mengeluarkan kenyataan memfitnah bekas pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Abdul Karim Jalil, Datuk Gunalan Muniandy dan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bagaimanapun membenarkan rayuannya untuk mengurangkan kuantum ganti rugi sebanyak RM300,000 yang sebelum ini diberikan Mahkamah Tinggi kepada Maria, kepada RM150,000.

Mahkamah turut memberikan award RM10,000 sebagai kos kepada Maria, yang kini Ahli Parlimen Petaling Jaya.

Ahmad Zaidi, yang menyampaikan keputusan sebulat suara itu berkata mahkamah bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi bahawa kenyataan yang diucapkan oleh Jamal akan mempunyai kesan menjatuhkan reputasi Maria di mata masyarakat dan boleh menimbulkan kebencian kepada wanita itu.

Beliau berkata Jamal juga gagal menunjukkan bahawa hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab tersilap dalam keputusannya bahawa dua kenyataan yang diucapkan Jamal merujuk kepada Maria.

Jamal telah mengaku membuat dua kenyataan itu tetapi menafikan bahawa kenyataan itu merujuk kepada Maria atau kenyataan itu berunsur fitnah.

Hakim itu berkata Mahkamah Rayuan mendapati tiada merit dalam rayuan Jamal mengenai liabiliti.

Mengenai kuantum ganti rugi, hakim berkata jumlah RM300,000 yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi kepada Maria nyata berlebihan sambil menambah bahawa RM150,000 adalah jumlah yang munasabah untuk diberikan kepada Maria.

Maria mengambil tindakan undang-undang terhadap Jamal kerana memfitnah dengan mengaitkan beliau dan Bersih 2.0 dengan kumpulan militan Daesh.

Dalam samannya yang difailkan pada 7 Oktober 2016, beliau mendakwa Jamal mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya dan Bersih, yang disiar dan diterbitkan oleh media dalam talian, cetak dan elektronik, semasa sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 28 September 2016 dan kemudiannya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 4 Oktober 2016.

Pada 2018, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Jamal memfitnah Maria dan memerintahkannya membayar ganti rugi RM300,000 kepada Maria menyebabkan beliau merayu terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Jamal diwakili peguam V. Mugunthan dan Mohamad Fauzi Abdul Samad manakala peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, Abraham Au dan Ngeow Chow Ying mewakili Maria.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 4:07 PM