DR Mahathir menghadiri Majlis Makan Tengah Hari dan Sesi Khas Bersama Diaspora Rakyat Malaysia di Thailand di Bangkok, hari ini. - FOTO Bernama.
DR Mahathir menghadiri Majlis Makan Tengah Hari dan Sesi Khas Bersama Diaspora Rakyat Malaysia di Thailand di Bangkok, hari ini. - FOTO Bernama.
Daripada Najmuddin Najib


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ramai lagi akan didakwa berikutan salah laku ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Mengulas mengenai pendakwaan kes rasuah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; bekas timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid, Dr Mahathir berkata, ‘ramai lagi akan didakwa’.

“Apa yang anda lihat hari ini adalah beberapa pendakwaan terhadap beberapa orang, tetapi ada ramai lagi.

“Kita tidak boleh menghadapkan semua orang ke mahkamah serentak, jadi kita dakwa satu persatu.

“Tuduhan paling serius ialah bekas Perdana Menteri (Najib) sendiri,” katanya dalam pertemuan dengan Dewan Perdagangan Malaysia-Thailand (MTCC) di Bangkok, hari ini.

Dr Mahathir berkata, Malaysia menderita selama hampir sembilan tahun di bawah pemerintahan kerajaan BN kerana mereka tidak berusaha membantu rakyat.

Beliau turut membidas dua bekas Perdana Menteri iaitu Najib Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang didakwa tidak berminat membantu rakyat, tetapi lebih cenderung mengaut kemewahan peribadi.

“Dasar Ekonomi Baharu (DEB) diwujudkan bertujuan mengurangkan jurang antara rakyat Malaysia berbilang kaum.

“Kita sepatutnya sudah berjaya apabila memperkenalkan DEB tetapi dua Perdana Menteri selepas saya tidak berminat membangunkan negara, sebaliknya hanya mahu meraih kekayaan menerusi jawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 9:54 PM