KADIR. FOTO Faiz Anuar
KADIR. FOTO Faiz Anuar
Norrasyidah Arshad

WARTAWAN boleh menjadi pembetul arah dan memberi teguran kepada barisan Menteri Kabinet dalam pentadbiran kerajaan baharu.

Penasihat Media dan Komunikasi Pejabat Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin, berkata wartawan kini tidak perlu terikut dengan Menteri atau Timbalan Menteri yang tidak pandai berhujah serta tidak mempunyai maklumat berkaitan sesuatu isu.

“Memandangkan hampir semua Menteri Kabinet masih baharu, kumpulan wartawan yang perlu membantu mereka berdasarkan pengalaman yang lebih lama.

“Sesetengah wartawan lebih lama dari Menteri dalam Pakatan Harapan (PH). Anda patut guna pengalaman itu untuk bantu mereka.

“Kalau boleh, saya tidak mahu wartawan disekat, diherdik, dipandang ringan oleh mana-mana Menteri dan orang politik. Kena wajib ajar Menteri dan Timbalan untuk terima teguran,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Serantau Persatuan Komunikasi Antarabangsa Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Shah Alam, hari ini. .

Kadir yang juga bekas Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) dan Tokoh Wartawan Negara berkata, ketika menjadi wartawan, beliau juga sering kali memberi teguran kepada pihak Menteri.

“Teguran itu harus berteraskan keikhlasan dan bukan mencari kesalahan Menteri atau Timbalan Menteri bagi menyedapkan berita yang dilaporkan.

“Jika rasa teguran kita baik dan berfaedah, berhak kita bagi tahu atau sampaikan kepada Setiausaha Akhbar (SUA) mereka.

“Tugas kita adalah berlesenkan kewartawanan yang boleh mengajar dan menegur. Jika teguran itu tidak boleh diterima, mereka tidak boleh jadi orang media,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 7:12 PM