Nur Lela Zulkipli


“ITU hak dialah,” kata wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin berikutan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul meminta polis supaya menyiasat beliau yang didakwa menghina dan memburukkan institusi diraja melalui artikel yang ditulis, kelmarin.

Kadir melalui blog peribadinya turut mempersoalkan kebebasan bersuara dalam kerajaan baru yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu.

“Johari hari ini menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat saya di bawah Akta Hasutan kerana menyiarkan rencana ini.

“Dia mendakwa rencana ini secara tidak langsung boleh mencetuskan prasangka buruk terhadap Sultan Kedah. Itu hak dialah. Bukankah ini Malaysia baru yang bebas dan toleransi?” katanya.

Kadir kelmarin memuat naik artikel bertajuk ‘Selamat Bertakhta Al Aminul Karim’ yang didakwa menghina dan memburukkan institusi diraja terutama Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Johari berkata, tulisan Kadir boleh mencetuskan prasangka seolah-olah baginda mengambil kesempatan dan menyalah guna kedudukan sebagai Sultan.

Beliau turut menegaskan bahawa ia bukan kali pertama Kadir mengeluarkan artikel sedemikian dan pastinya ramai akan yang akan membaca berikutan terdapat ramai pengikut di blog berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 5:12 PM