MOHAMAD Hassan bersama Johan Jaafar pada program Bicara Minda di Shah Alam. FOTO Roslin Mat Tahir
MOHAMAD Hassan bersama Johan Jaafar pada program Bicara Minda di Shah Alam. FOTO Roslin Mat Tahir
Norrasyidah Arshad


TINDAKAN mengenepikan pandangan golongan muda ketika mentadbir kerajaan menjadi antara punca utama kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Timbalan Presiden yang menjalankan tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, ketika mendapat mandat mentadbir kerajaan, BN tidak pernah mahu mendengar pandangan golongan muda sebaliknya turut mengenepikan teguran golongan itu.

“Tindakan itu adalah salah kerana pandangan dan teguran itu satu ilmu yang patut didokong. Tak dengar cakap orang. Dahulu dengan jawatan masing-masing, cakap orang bawahan tak nak dengar.

“Ini antara sebab kecundang. Dahulu orang bagi pandangan, kita ‘ceh’ kan saja. Kita buat tidak tahu.

“Kitalah yang arif, akhirnya kita kecundang. Sikap bodoh sombong ini tak ke mana,” katanya pada program Bicara Minda di Kompleks Media Karangkraf, di Shah Alam hari ini dengan tokoh wartawan Tan Sri Johan Jaafar bertindak sebagai moderator.

Mohamad turut mengakui manifesto BN juga menjadi punca kekalahan pada PRU-14 lalu memandangkan ia tidak sehebat manifesto yang dibawa PH.

Bagaimanapun, beliau menyindir secara sinis manifesto PH yang sehingga kini masih tidak tertunai.

“UMNO masih dapat sokongan Melayu cuma strategi dan manifesto yang tidak betul. Kita buat apa yang kita nak, bukan seperti bentangkan Belanjawan Tahunan.

“PRU-15, kita akan buat macam-macam janji, bagi bulan bintang sebab manifesto bukan janji,” katanya menyindir PH.

Mohamad turut menyerahkan kepada orang ramai dan akar umbi parti untuk menilai adakah beliau calon tepat bagi memimpin UMNO yang sebelum ini berada dalam keadaan krisis seterusnya membawa parti keluar daripada masalah terbabit.

Beliau berkata, walaupun memiliki pengalaman korporat dan berjaya memacu kemajuan kepada Negeri Sembilan ketika bergelar Menteri Besar hingga menyaksikan negeri itu memiliki hampir RM1 bilion dalam kantung kerajaan negeri, penilai terbaik terhadap kemampuan seseorang pemimpin adalah rakyat serta ahli parti.

“Soal apakah saya orang yang tepat atau tidak, itu biar rakyat dan ahli akar umbi menilai tetapi kalau kita bercakap soal menangani krisis, saya boleh kata saya orangnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 7:28 PM