KAMARUl Ariffin mengikat pisang untuk dijual di gerainya.
KAMARUl Ariffin mengikat pisang untuk dijual di gerainya.
KAMARUL Ariffin (kanan) dan Mohd Yusop tawar buah dan sayur pada harga lebih rendah berbanding di Pasar Masjid Tanah.
KAMARUL Ariffin (kanan) dan Mohd Yusop tawar buah dan sayur pada harga lebih rendah berbanding di Pasar Masjid Tanah.
Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: “Saya tidak terlalu mengejar untung sebaliknya menawarkan buah-buahan dan sayur-sayuran pada harga lebih rendah bagi menawan hati pelanggan,” kata Kamarul Ariffin Mohd Yusop, 34, usahawan tani dari Kampung Pulau, Masjid Tanah di sini, semalam.

Kamarul Ariffin berkata, kaedah itu juga membolehkan pelanggan sedar bahawa Gerai Buah-buahan Segar (GBBS) diusahakannya menawarkan harga lebih murah sepanjang masa tanpa mengira musim.

Kamarul Ariffin berkata, cara itu juga membolehkan GBBS diusahakannya sejak 2000 bertahan dan lebih berdaya saing.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, GBBS pada asalnya hanya gerai dibina bapanya, Mohd Yusop Talib, 66, daripada papan, pada 1996.

“Sejak bapa menghidap penyakit ‘bell palsy’ iaitu penyakit berkaitan saraf, kesihatannya merosot dan saya kemudiannya mengambil-alih gerai ini.

“Saya mendapatkan bekalan ubi keledek dan ubi kayu dari Sepang, Selangor. Pisang pula dibeli terus daripada pekebun di Rembau, Negeri Sembilan manakala kangkung, bayam, tebu serta cili diambil daripada kebun seluas 0.92 hektar yang saya usahakan,” katanya.

Menurut Kamarul Ariffin, bagi mengekalkan harga patut, dia kerap membuat pemantauan untuk membandingkan harga buah serta sayur di pasaran, terutama di pasar Masjid Tanah.

Katanya, selain faktor harga, GBBS mengutamakan produk segar di mana sebahagiannya dipasarkan terus sejurus dipetik daripada kebunnya.

“Ada pelanggan tetap meminta saya memetik kangkung dan cili ketika mereka singgah di gerai ini kerana ia bukan saja segar malah rasanya lebih enak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 9:48 AM