Shaarani Ismail


REMAJA perempuan yang ditemui meninggal dunia di dalam tandas rumahnya di Parit Buntar selepas melahirkan bayi lelaki, semalam mengadu sakit perut dan sembelit lalu meminta kebenaran ibunya menggunakan tandas yang terletak di bilik tidur utama itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, mangsa, 18, meminta kebenaran untuk menggunakan tandas di bilik tidur ibu bapanya selepas mengadu sakit perut.

Bagaimanapun, katanya, selepas kira-kira 30 minit ibunya ada memanggil mangsa yang juga anak kelima daripada enam beradik itu kerana mendapati dia berada terlalu lama di dalam tandas dan mangsa memberitahu mengalami sembelit.

“Kira-kira jam 10 pagi (semalam), ibunya sekali lagi memanggil remaja terbabit dan dia sekali lagi menjawab masih belum selesai menggunakan tandas terbabit.

“Ibu si mati dan anak bongsunya berulang kali bertanya keadaan remaja terbabit dan menerima jawapan sama daripada mangsa sehinggalah dia tidak lagi memberikan sebarang reaksi jam 2 petang.

“Berikutan itu, ibu mangsa bertindak memecahkan pintu tandas dan mendapati mangsa tersandar di dinding tidak sedarkan diri dan pucat lesi berlumuran darah selain mendapati terdapat objek dan darah di dalam mangkuk tandas,” katanya di Ipoh, hari ini.

Yahya berkata, ibu mangsa kemudian cuba mengejutkannya, namun tiada sebarang tindak balas dan bertindak menghubungi talian kecemasan 999.

Menurutnya, pada masa sama ibunya mengesan objek yang terdapat dalam mangkuk tandas berkenaan adalah bayi yang sudah tidak bergerak.

Katanya, pasukan perubatan yang tiba di lokasi rumah mangsa jam 2.45 petang kemudian mengesahkan mangsa dan bayi berkenaan sudah meninggal dunia.

“Jenazah kedua-duanya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh (HRPB) untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Difahamkan, remaja itu yang belum berkahwin dipercayai mengandung di luar pengetahuan ahli keluarganya yang tinggal bersama di rumah berkenaan.

Sementara itu, tinjauan mendapati waris mangsa tiba di perkarangan Jabatan Forensik HRPB jam 9.15 pagi bagi urusan jenazah.

Usaha media untuk mendapatkan maklum balas dan reaksi keluarga juga tidak berhasil kerana mereka enggan ditemuramah dan meminta menghormati kesedihan mereka.

Dalam pada itu, jiran mangsa yang juga Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar, Datuk Abu Bakar Mat Ali yang turut hadir menziarahi keluarga mangsa berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian jam 4 petang semalam.

Abu Bakar turut meminta media supaya menghormati situasi yang dialami keluarga mangsa.

Katanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Buntar bersebelah Masjid Daerah Kerian, petang hari ini.

Berita berkaitan

Remaja dan bayinya mati di bilik air

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 3:30 PM
JENAZAH remaja perempuan yang meninggal dunia akibat komplikasi ketika melahirkan anak dituntut ahli keluarga di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, hari ini. FOTO L Manimaran
JENAZAH remaja perempuan yang meninggal dunia akibat komplikasi ketika melahirkan anak dituntut ahli keluarga di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, hari ini. FOTO L Manimaran