MAYAT ditemukan dalam longkang di Persiaran Kerian Permai. FOTO ihsan pembaca
MAYAT ditemukan dalam longkang di Persiaran Kerian Permai. FOTO ihsan pembaca
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Tindakan pelik remaja lelaki yang secara tiba-tiba membuang motosikal dan berlari ketakutan ke arah yang tidak pasti sebelum mayatnya ditemukan dalam longkang di Persiaran Taman Kerian Permai, di sini, selepas dua hari menjadi tanda tanya pelbagai pihak.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, polis kini masih meneruskan siasatan dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

Menurutnya, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang mengeruhkan keadaan dan turut meminta saksi tampil memberi kerjasama kepada polis.

"Pada jam 2.06 petang semalam, polis menerima laporan kehilangan remaja lelaki berusia 19 tahun yang juga pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) dibuat bapanya berusia 41 tahun.

"Pada jam 5.45 petang, polis menemukan mayat lelaki dalam longkang di Jalan Persiaran Kerian Permai dan berdasarkan pengecaman, pengadu mengesahkan mayat itu adalah anaknya yang dilaporkan hilang," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati pada 24 April lalu, jam 10.30 malam, mangsa dan sepupunya berkunjung ke rumah rakan di Taman Kerian Permai.

"Dalam perjalanan pulang, mangsa yang menunggang motosikal berasingan tiba-tiba bertindak membuang kenderaan itu dan berlari seperti ketakutan ke arah Persiaran Kerian Permai sehingga gagal dikesan oleh sepupu dan rakannya.

"Pihak pengadu cuba mencari mangsa namun kelibatnya gagal dikesan sebelum meminta bantuan polis.

"Siasatan lanjut oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (BSJN IPD) Kerian tidak menemui sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian.

"Hasil bedah siasat oleh Unit Forensik Hospital Ipoh juga tidak dapat mengenalpasti punca kematian mangsa dan beberapa spesimen yang diterima dihantar ke Jabatan Kimia bagi membantu siasatan," katanya.

Mohd Yusri berkata, buat masa ini polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil memberi kerjasama kepada pihak polis atau menghubungi bilik gerakan IPD Kerian di talian 05-721 2222.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 4:26 PM