LOKASI kejadian. FOTO Ihsan Polis
LOKASI kejadian. FOTO Ihsan Polis
Fairuz Zaidan

WANITA warga emas maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika melintas di Jalan Lorong Pandan, di Melaka, malam tadi.

Dalam kejadian 7.10 malam itu, Yeo Kue Toh, 70, dari Rumah Pangsa Malinja, Jalan Kesidang meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di anggota badan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang melintas jalan berkenaan.

Beliau berkata, wanita itu kemudian dipercayai dilanggar sebuah kenderaan yang masih belum dikenal pasti jenisnya.

“Mayat mangsa berada di tengah jalan dan tidak dialihkan daripada kedudukannya sejurus selepas kejadian.

“Pemandu kenderaan dipercayai melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, polis meminta individu yang mempunyai maklumat tampil atau menghubungi balai polis berhampiran.

“Mereka menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Rezuan Mohd Sukemi di talian 011-33404634,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 10:20 AM