NURUL Baizura menatap jenazah suami. FOTO Rosli Ilhan
NURUL Baizura menatap jenazah suami. FOTO Rosli Ilhan
Rosli Ilham

“SELAMAT tinggal abang. Saya akan sentiasa doakan abang.” Itu kata-kata Nurul Baizura A Bakar, 25, ketika menatap wajah suaminya yang maut dalam kemalangan di Kilometer 70.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Pulau Serai, Dungun, hari ini.

Dalam kejadian 7 pagi itu, suaminya, Muhammad Izzudin Affandi, 26, seorang pekerja kedai makan di Kuala Terengganu disahkan meninggal dunia di Hospital Dungun, kira-kira sejam selepas insiden berkenaan.

Nurul Baizura yang patah kedua-dua belah kaki dan tulang belakang bersama suaminya itu turut dikejarkan ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, wanita itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Sebelum bertolak ke HSNZ, dia meminta izin kepada doktor untuk menatap wajah suaminya serta sempat mengusap badan Allahyarham beberapa kali sambil menangis.

“Saya akan sentiasa doakan abang, selamat tinggal abang, “ katanya sebelum dia dibawa dengan ambulans ke HSNZ.

Ketika kejadian, Muhammad Izzudin memandu Proton Wira dan dia dalam menghantar isterinya ke tempat kerja wanita itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Intan Zaharah, dekat Dungun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila Proton Wira yang dipandu mangsa dari arah Kuala Terengganu ke Dungun dikatakan memotong sebuah lori muatan roti

Katanya, kereta terbabit gagal berbuat demikian sebelum memasuki lorong kiri dan bertembung dengan kereta Toyota Vios dari arah bertentangan, manakala lori roti terbabit yang cuba mengelak turut terbalik.

“Pemandu Toyota Vios, Rohaznida Abdul Rahim, 39, seorang ustazah yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Kuala Abang di Dungun, parah di bahagian kaki dan turut menerima rawatan di Hospital Dungun.

“Bagaimanapun, pemandu lori roti terbabit berusia 47 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa maut kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 7:35 PM