MOTOSIKAL warga emas remuk di bahagian belakang selepas dilanggar Toyota Vios dalam kemalangan di KM 53, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan, Marang. FOTO IHSAN PDRM
MOTOSIKAL warga emas remuk di bahagian belakang selepas dilanggar Toyota Vios dalam kemalangan di KM 53, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan, Marang. FOTO IHSAN PDRM
Zaid Salim


LELAKI warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya diseret sejauh 60 meter dalam kemalangan dengan kereta di Kilometer (KM) 53 Jalan Kuala Terengganu–Kuantan di Marang, hari ini.

Kemalangan berhampiran Kampung Jambu Bongkok pada 3.10 petang itu menyebabkan mangsa, Muhammad Ab Rahman, 77, dari Kampung Kuala Abang, Dungun meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, kejadian berlaku apabila mangsa secara tiba-tiba mengubah laluan untuk membuat pusingan 'U' sebaik tiba di lokasi kejadian.

Katanya, mangsa dikatakan menunggang motosikal secara bersendirian dari arah Dungun menghala ke Kuala Terengganu.

"Bagaimanapun, mangsa yang berada di lorong kiri secara tiba-tiba memasuki lorong kanan untuk membuat pusingan 'U' tanpa menyedari kereta Toyota Vios dalam perjalanan arah sama berada di lorong berkenaan.

"Tindakan mangsa menyebabkan pemandu kereta berkenaan iaitu wanita berusia 30 tahun panik dan gagal mengelak kerana jarak terlalu dekat sebelum melanggar belakang motosikal terbabit," katanya.

Beliau berkata, perlanggaran itu menyebabkan Yamaha Lagenda ditunggang mangsa diseret sejauh kira-kira 60 meter dari tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa yang parah di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta berasal dari Taman Alam Perdana, Kampung Pasir Semut, Binjai, tidak cedera.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 8:32 PM