Zatul Iffah Zolkiply


SEORANG lagi mangsa kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 42, Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi (Aring) di Kuala Berang semalam meninggal dunia pagi hari ini.

Ia menjadikan empat mangsa kemalangan itu maut manakala seorang lagi parah.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mangsa, Afif Safwan Mohd Zuki, 21, disahkan meninggal dunia pada 10.17 pagi kerana parah pada anggota badan ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Menurutnya, seorang lagi mangsa yang parah, Mohamad Rusydi Md Said, 26, turut dihantar ke HSNZ Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sebelum ini, dilaporkan tiga maut manakala dua cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori treler yang membawa muatan bijih besi amang dan sebuah Toyota Vios dinaiki lima lelaki.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, tiga mangsa yang maut itu adalah pemandu Toyota Vios, Noriskandar Muzafar, 33; penumpang hadapan, Wan Ahmad Adam Murshidy Wan Rosli, 24, dan penumpang belakang, Zulkarnain Buniyami, 18.

Berita berkaitan

• Tiga maut kereta bertembung treler

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 4:16 PM