NOOR Mushar (kanan) menerima dokumen serah terima tugas daripada Azisman (kiri) sambil disaksikan oleh Tajudin di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perlis, Kangar, hari ini. FOTO Azhar Ramli
NOOR Mushar (kanan) menerima dokumen serah terima tugas daripada Azisman (kiri) sambil disaksikan oleh Tajudin di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perlis, Kangar, hari ini. FOTO Azhar Ramli
Muhammad Mustakim Ramli


KETUA Pusat Pengajian Sains Pengurusan Krisis dan Bencana Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd dilantik sebagai Ketua Polis Negeri baharu menggantikan Datuk Azisman Alias.

Majlis serah terima tugas berlangsung di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis disaksikan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM Datuk Seri Tajudin Md Isa, yang mewakili Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Noor Mushar, 58, yang sudah berkhidmat selama 37 tahun pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Perlis sebelum ditukarkan ke Pusat Pengajian Sains Pengurusan Krisis dan Bencana, Maktab PDRM Kuala Lumpur, Ogos tahun lalu.

Beliau ketika ditemui mengakui terkejut kerana dapat kembali semula ke Perlis dan merakamkan ucapan terima kasih atas kepercayaan diberikan kepimpinan PDRM.

“Buat permulaan, saya akan memberi fokus kepada isu di sempadan negara khususnya kegiatan penyeludupan daun ketum.

“Dalam tempoh terdekat, saya akan berjumpa Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi membincangkan isu ini,” katanya.

Sementara itu, Azisman memulakan tugas sebagai Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman menggantikan Datuk Shahrul Othman Mansor yang ditukarkan ke Bahagian Dasar Sumber Manusia Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 1:25 PM