Sukarelawan JKM menanyakan khabar Wan Hafsah yang tinggal berseorangan di rumahnya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Sukarelawan JKM menanyakan khabar Wan Hafsah yang tinggal berseorangan di rumahnya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi


RUMAH wanita dipercayai mengalami masalah mental yang hidup bersama timbunan sampah-sarap di sebuah rumah di Kampung Bendang Pak Yong, Tumpat sejak lebih 10 tahun lalu dibersihkan hari ini.

Aktiviti gotong-royong di rumah Wan Hafsah Che Awan, 39, itu dianjurkan Wanita Pakatan Harapan (PH) Tumpat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah itu membabitkan 20 sukarelawan.

Ketua Wanita PH Tumpat, Nik Faizah Nik Othman berkata, gotong-royong membersihkan rumah Wan Hafsah bermula jam 10 pagi dan selesai dua jam kemudian.

Katanya, kerja pembersihan dilakukan di sekitar pekarangan dan dalam rumah bagi memastikan tempat tinggal wanita terbabit bersih dan selesa.

“Selain itu, kita turut membekalkan tilam dan bekalan air minuman bersih untuk keselesaannya tinggal di rumah terbabit,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga berusaha mendapatkan taraf warga negara untuk wanita terbabit.

“Ketika ini, dia masih memegang taraf penduduk tetap biarpun sudah tinggal di sini sejak dilahirkan lagi. Keadaan itu menyukarkannya untuk ditempatkan di umah kebajikan masyarakat.

“Saya berharap urusan ini berjalan lancar kerana ia agak bahaya membiarkan Wan Hafsah tinggal seorang diri di sini,” katanya.

NSTP semalam melaporkan Wan Hafsah tinggal seorang diri di dalam timbunan sampah sarap di rumahnya selepas kematian ibu dan bapa angkatnya sejak 15 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 3:02 PM