Rosli Ilham


Kemaman: Sebanyak 482 kilogram sampah yang kebanyakannya botol plastik berjaya dikutip dalam tempoh satu jam sempena gotong-royong anjuran Geng Plastik Ija (GPI) di Pantai Kemasik, hari ini.

Pengerusi GPI, Zelkefli Sarji, berkata, program itu disertai kira-kira 200 ahli GPI dengan turut disertai anak-anak dari Pusat Jagaan Kanak-kanak Villa Mawarddah Kijal dan pelajar Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ranggon Kerteh.

Menurutnya, gotong-royong yang diadakan memberi tumpuan kepada kawasan pantai yang tidak dikunjungi dan pantai yang menjadi tumpuan pengunjung di seluruh negeri ini.

"Daripada Januari lalu hingga hari ini, kita berjaya melakukan 58 gotong-royong membersih pantai.

"Daripada jumlah itu, kita berjaya mengutip sebanyak 12 tan sampah membabitkan 150,000 botol plastik," katanya.

Zelkefli berkata, sebelum ini fokus gotong-royong diadakan sekitar pantai Kerteh sebelum dikembangkan di seluruh pantai di Kemaman dan kini tumpuan di seluruh pantai dan pulau di Terengganu.

"Kita turut mendapat sokongan daripada Petronas dan agensi swasta yang terbabit dan kami turut mengalu-alukan bantuan dan sokongan daripada pelbagai pihak untuk meneruskan usaha murni ini," katanya.

Ahli GPI, Mohd Azraff A Hamid berkata, sejak empat tahun menjadi ahli, dia berasa seronok menyertai kerja amal terbabit.

"Saya merasa terpanggil untuk turut serta membantu supaya kawasan pantai di seluruh Terengganu ini bersih dan diminati pengunjung dalam dan luar.

"Kebanyakan sampah yang kita kutip datangnya dari tengah laut dan kita bimbang sampah ini akan dimakan ikan termasuk penyu.

"Untuk rekod tahun ini hingga Mac, sebanyak 31 kes kematian penyu dilaporkan berlaku di pantai Terengganu dan kita dapati sebahagiannya disebabkan termakan sampah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 2:34 PM
Ahli Geng Plastik Ija GPI mengutip sampah pada gotong-royong yang diadakan di Pantai Rumah Murah Kemasik. FOTO Rosli Ilham
Ahli Geng Plastik Ija GPI mengutip sampah pada gotong-royong yang diadakan di Pantai Rumah Murah Kemasik. FOTO Rosli Ilham