Hazira Ahmad Zaidi


SERAMAI 50 ahli Persatuan Pencinta Busana Melayu Negeri Kelantan bergotong-royong membersihkan halaman rumah warisan berusia 200 tahun didiami suami isteri berbangsa Tionghua di Kampung Sering, Kota Bharu, hari ini.

Penasihatnya, Mohamad Salleh berkata, inisiatif itu diambil untuk membantu warga emas itu Koet Siew Ling, 72 dan Chen Awang, 70 sebagai persediaan menyambut Tahun Baharu Cina.

Katanya, selain ahli persatuan, gotong-royong juga disertai badan bukan kerajaan (NGO) lain iaitu We Care Tumpat, Geng Berbasikal, Persatuan Pemandu Pelancong dan Persatuan Pelukis Kelantan yang bermula jam 8 hingga 11.30 pagi.

“Walaupun berlainan bangsa dan agama, menjadi tanggungjawab kami untuk membantu mereka apatah lagi suaminya menghidap penyakit buah pinggang.

“Lebih menarik, ketika gotong-royong dilakukan, golongan lelaki mengenakan semutar bersama baju T, manakala wanita mengenakan kain batik yang diletakkan di atas kepala bersama pakaian tradisional sebagai lambang jati diri dan seni budaya masyarakat Kelantan.

“Idea pemakaian tradisional ini adalah bagi memelihara warisan masyarakat dahulu kala yang boleh dipakai dalam pelbagai aktiviti,” katanya ketika ditemui hari ini.

AHLI Persatuan Pencinta Busana Melayu Negeri Kelantan membersihkan kawasan halaman rumah tradisional dimiliki Chen dan Koet. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
AHLI Persatuan Pencinta Busana Melayu Negeri Kelantan membersihkan kawasan halaman rumah tradisional dimiliki Chen dan Koet. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Sementara itu, Koet berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak yang membantu membersihkan halaman rumahnya.

Katanya, mereka adalah generasi keenam yang mendiami rumah warisan itu.

“Sebelum ini, rumah ini hanya berdindingkan buluh, namun ketika saya dan suami mahu berkahwin pada 1970-an, dinding rumah ditukar kepada papan dan kekal sehingga hari ini.

“Tiga tahun lalu, sekumpulan penuntut Universiti Awam datang ke rumah untuk dijadikan kajian dan rujukan pengajian,” katanya.

Ibu kepada dua anak dan lima cucu ini berkata, persiapan untuk menyambut Tahun Baharu Cina tahun ini dilakukan secara ala kadar memandangkan anak kedua yang berada di Melbourne tidak dapat pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 2:16 PM