RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek mencabut fius elektrik dalam kejadian samun di sebuah kedai pajak gadai di Teluk Air Tawar, Butterworth, Isnin lalu. FOTO Ihsan PDRM
RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek mencabut fius elektrik dalam kejadian samun di sebuah kedai pajak gadai di Teluk Air Tawar, Butterworth, Isnin lalu. FOTO Ihsan PDRM
Shamsul Munir Safini


EMPAT individu termasuk seorang wanita yang menyamun sebuah kedai pajak gadai di Teluk Air Tawar, Butterworth pada Isnin lalu berjaya diberkas polis, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihak polis yang menerima laporan daripada mangsa melakukan siasatan lanjut.

Menurutnya, pihaknya berjaya menahan empat suspek termasuk seorang wanita di Sungai Petani, Kedah dan Ipoh, Perak antara Khamis serta jam 12 tengah malam hari ini.

“Suspek berjaya dikesan selepas polis membuat pengecaman identiti kumpulan itu melalui rakaman CCTV di lokasi kejadian.

“Polis juga merampas beberapa barangan yang disamun di premis berkenaan bersama peralatan termasuk kenderaan digunakan mereka.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek juga mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan dua daripadanya mempunyai rekod jenayah termasuk kes pecah rumah dan mencuri,” katanya.

Menurutnya, suspek berusia 21 hingga 40 tahun dipercayai menggunakan taktik mencabut fius elektrik di premis itu terlebih dahulu sebelum menyamun kedai terbabit.

Katanya, dalam kejadian jam 7 pagi, pemilik premis sedang mengemas kedai untuk dibuka dan tiba-tiba kedai menjadi gelap kerana fius elektrik dicabut suspek.

“Suspek kemudian menumbuk muka seorang pekerja wanita sebelum mengambil barangan berharga termasuk wang tunai RM600 dan melarikan diri.

“Aksi suspek tidak dapat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai itu kerana tiada bekalan elektrik, namun sempat dirakam CCTV di kawasan luar kedai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 8:16 PM