ZAINUDDIN (dua dari kiri) menunjukkan pisau dan topi keledar digunakan suspek untuk melakukan samun kedai serbaneka di Kulim pada sidang media di IPD Pendang, semalam. FOTO Shahrizal Md Noor.
ZAINUDDIN (dua dari kiri) menunjukkan pisau dan topi keledar digunakan suspek untuk melakukan samun kedai serbaneka di Kulim pada sidang media di IPD Pendang, semalam. FOTO Shahrizal Md Noor.
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI berusia 29 tahun yang sebelum ini aktif melakukan kegiatan samun bersenjata di Kuantan, Pahang kini menukar operasinya ke Kulim dengan menjadikan kedai serbaneka 24 jam di daerah itu sebagai sasaran untuk mendapatkan wang.

Suspek dikatakan baru berpindah ke Kulim kerana mengikut isterinya yang berasal dari daerah itu dan wanita berkenaan kini hamil tiga bulan selepas mereka berkahwin empat bulan lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, terbaru suspek dikesan melakukan kegiatan itu pada 14 Mei lalu di kedai serbaneka di Kulim dan kegiatan itu berjaya dirakam kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di premis itu sebelum dia akhirnya ditangkap dua hari kemudian.

Beliau berkata, ketika itu anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim sedang melakukan rondaan di kawasan itu sebelum ternampak gelagat seorang lelaki yang berlari dalam keadaan mencurigakan di satu kawasan di Kulim.

“Disebabkan tahu gerak gerinya seperti penjenayah, anggota kami mengejar dan menahannya untuk diperiksa sebelum mendapati suspek disyaki terbabit dengan kes samun.

“Berdasarkan semakan, dia pernah memiliki empat rekod jenayah termasuk samun berkawan menggunakan senjata, cubaan samun, dadah dan memindahkan barangan curi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid.

Zainuddin berkata, modus operandi suspek adalah dengan masuk ke dalam kedai serbaneka sambil memakai topi keledar bertutup dan melakukan kegiatan itu secara solo.

Beliau berkata, apabila menyedari tiada pelanggan dalam premis itu, dia akan berpura-pura sebagai pelanggan sebelum mengeluarkan pisau dan menghala ke arah juruwang di kaunter sebagai mengugut untuk mendapatkan wang tunai.

“Hasil siasatan mendapati, suspek tidak mengambil barangan lain tetapi hanya memerlukan wang tunai ketika menyamun.

“Suspek biasanya akan melakukan kegiatan itu pada waktu petang ketika pelanggan berkurangan dan setakat ini dia sudah melakukan tiga kes samun di kedai serbaneka di Kulim dengan menggunakan modus operandi sama,” katanya.

Zainuddin berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati, suspek dipercayai positif dadah dan ditahan untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan manakala pakaian, topi keledar, pisau dan baju milik suspek dirampas untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 1:18 AM