Nurul Hidayah Bahaudin


PEKERJA wanita kedai serbaneka 24 jam di Gombak berdepan detik cemas apabila disamun tiga lelaki, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 5.43 pagi itu, pekerja wanita kedai serbaneka terbabit didatangi tiga lelaki berkenaan yang memakai topi memasuki premis itu.

Aksi ketiga-tiga lelaki terbabit menyamun kedai serbaneka itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di dalam premis berkenaan.

Dalam rakaman berdurasi 40 saat itu, ketiga-tiga suspek yang bersenjatakan parang dilihat mengugut pekerja wanita terbabit sebelum menyelongkar barang dan wang tunai di dalam peti simpanan wang di kaunter.

Sebaik mengambil wang tunai dan barangan di dalam premis itu, mereka terus melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Kami masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan termasuk mengenal pasti identiti suspek melalui rakaman CCTV di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 2:16 PM
RAKAMAN CCTV menunjukkan tiga lelaki memakai topi menyamun pekerja wanita di kedai serbaneka di Gombak, awal pagi Jumaat lalu.
RAKAMAN CCTV menunjukkan tiga lelaki memakai topi menyamun pekerja wanita di kedai serbaneka di Gombak, awal pagi Jumaat lalu.