ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan tangan kanan mangsa yang tersekat dalam tangki diesel lori di kilang simen di Ayer Tawar, Manjung, semalam. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan tangan kanan mangsa yang tersekat dalam tangki diesel lori di kilang simen di Ayer Tawar, Manjung, semalam. FOTO ihsan bomba.
Muhammad Apendy Issahak


LELAKI terpaksa menanggung azab selama hampir lima jam selepas tangan kanannya tersekat dalam tangki diesel lori di kilang simen di Ayer Tawar, Manjung, sebelum berjaya dikeluarkan.

Tangan lelaki berusia 50-an itu hanya dapat dikeluarkan pada 10 malam tadi dengan bantuan bomba dan pihak hospital.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 5.31 petang semalam.

“Bomba menerima maklumat menyatakan seorang lelaki yang tangannya tersangkut pada lubang pengisian diesel lori dan sebaik tiba di lokasi, kami mendapati tangan mangsa masih tidak dapat dikeluarkan.

“Mangsa dikatakan cuba mengambil barang yang terjatuh dalam tangki berkenaan, namun tangannya tersangkut hingga ke pangkal lengan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, bomba memotong bahagian lubang pengisian diesel itu dan cuba menanggalkannya, namun gagal.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke klinik berhampiran untuk dibius, namun cubaan untuk menanggalkan besi lubang pengisian diesel itu masih gagal.

“Lelaki terbabit terpaksa dirujuk ke Hospital Seri Manjung dan akhirnya tangan mangsa berjaya dikeluarkan dengan menggunakan pemotong hidrolik.

“Tangan mangsa turut cedera ringan akibat tersangkut dalam tangki berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 1:39 AM