HALIMEY (tengah) bersama petugas media pada majlis sambutan hari raya Aidiladha di PPR Lembah Subang.
HALIMEY (tengah) bersama petugas media pada majlis sambutan hari raya Aidiladha di PPR Lembah Subang.
Manirajan Ramasamy

Kuala Lumpur: Calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar tidak menyangka program kempen yang berlangsung sejak lima hari lalu mendapat liputan meluas media.

Katanya, jumlah liputan media yang diterima amat memberangsangkan, sekaligus membuatkan beliau ‘terkejut’ kerana seringkali menjadi perhatian umum.

“Saya tidak pernah dikelilingi pengamal media seramai ini walaupun semasa bertugas sebagai ahli majlis.

“Diakui, terdapat kekurangan publisiti semasa PH menjadi parti pembangkang namun keadaan sudah berubah.

“Sejak PH mentadbir di peringkat negeri dan Persekutuan, saya akui, kami berdepan dengan kejutan budaya dan masih menyesuaikan diri setiap kali dikelilingi media,” katanya selepas menghadiri sambutan Hari Raya Aidiladha bersama penduduk PPR Lembah Subang, semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin.

Mengulas lanjut, Halimey memberi jaminan kepada pengamal media bahawa dasar komunikasi dua hala yang diamalkan akan tetap diteruskan sekiranya beliau memenangi PRK yang akan berlangsung pada 9 September.

Selain itu, beliau turut berjanji untuk meningkatkan taraf hidup lebih 12,000 penduduk yang menghuni lapan blok di kawasan itu.

“Pertama sekali, saya akan pastikan lif yang rosak dibaiki dan selesaikan isu sampah yang membelenggu penduduk di sini.

“Tangki air yang bocor dan kemudahan infrastruktur yang bermasalah turut akan diberikan perhatian sewajarnya.

“Isu Flat PPR di Selangor sudah dikemukakan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin,” katanya.

Halimey berharap, pengundi akan membantu beliau membawa perubahan yang amat diperlukan di Lembah Subang.

“Kerajaan baharu kini di bawah pentadbiran PH dan sekiranya penduduk memilih saya, sudah pasti isu dan masalah yang berlaku dapat diselesaikan dengan lebih efektif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 11:01 AM