TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri) dan Halimey (tengah) beramah mesra bersama adik Nur Wadihan Wira Sudepia pada Majlis Sayangi  Anak-Anak Istimewa Di Bawah Naungan Merdeka di Taman Tasik PJS 10, Petaling Jaya.
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri) dan Halimey (tengah) beramah mesra bersama adik Nur Wadihan Wira Sudepia pada Majlis Sayangi Anak-Anak Istimewa Di Bawah Naungan Merdeka di Taman Tasik PJS 10, Petaling Jaya.
Meor Riduwan Meor Ahmad

Petaling Jaya: “Tinggal lagi tujuh hari (berkempen), tumpuan kita adalah di kawasan yang dirasakan perlu kerja lebih. Saya rasa debat ini, tunggu selepas pilihan rayalah,” kata calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Menurutnya, biarpun mengakui program debat dapat membantu kempennya, setakat ini beliau berpuas hati dengan liputan berkesan diberi pihak media terhadapnya.

“Alhamdulillah, dulu PH tiada media. Sekarang sudah ada, saya rasa bantuan rakan media cetak mahupun elektronik, sudah cukup baik.

“Kita dapat maklum balas positif daripada pengundi dan ada juga mereka kenal saya bila keluar di televisyen,” katanya pada sidang media di tapak Karnival Komuniti Prihatin dan Hari Terbuka Universiti Selangor, semalam.

Beliau diminta mengulas lanjut dakwaan menarik diri daripada jemputan debat bersama calon PAS Dr Halimah Ali untuk sebuah program temubual di televisyen yang tular di media sosial Rabu lalu.

“Saya nak komen (apa) Dr Halimah kata tidak benar, sebab sasaran kita bertemu seramai mungkin pengundi di semua tempat. Cuma (saya) nak ingatkan saya tidak dapat jemputan dan tiada maklumat sebetulnya (program debat),” tegasnya.

Halimey berkata, memasuki hari ke-14 berkempen, maklum balas diterima daripada pengundi cukup memberangsangkan.

“Alhamdulillah hari ke-14 (kempen) boleh dikatakan 80 peratus kawasan dalam DUN Seri Setia sudah diliputi, mungkin ada sedikit saja lagi.

“Sasaran saya 60 peratus pengundi keluar mengundi pada 8 September nanti. Kita belajar apa kelemahan pada pilihan raya kecil Sungai Kandis.

“Saya dan jentera kempen sentiasa memperingat bakal pengundi mengenai hari mengundi termasuk apabila berkempen dari rumah ke rumah.

Sementara itu, Halimey menegaskan, jika dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), beliau akan meneruskan agenda kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) selepas mengambil alih pentadbiran Selangor daripada Barisan Nasional (BN) iaitu program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 12:29 AM