HALIMEY  mengadakan sidang media penyelesaian masalah perumahan rakyat kawasan DUN Seri Setia di Pusat Gerakan Utama Kelana Jaya.
HALIMEY mengadakan sidang media penyelesaian masalah perumahan rakyat kawasan DUN Seri Setia di Pusat Gerakan Utama Kelana Jaya.
Nur Lela Zulkipli

Petaling Jaya: Pakatan Harapan (PH) nekad menyelesaikan masalah perumahan rakyat di kawasan Seri Setia sekali gus dapat menaik taraf rumah sedia ada supaya menepati keperluan semasa.

Calon PH Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, sekiranya dipilih, beliau sendiri akan mendesak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik di kawasan DUN Seri Setia.

“Saya sudah pun berjumpa dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berhubung perkara ini dan kita sedar terdapat kekangan ruang dalam melaksanakan perkara ini, namun saya percaya setiap masalah pasti ada penyelesaian.

“Melalui program pembangunan semula bandar, saya juga akan mencadangkan supaya kawasan perumahan lama seperti di Kampung Lindungan dapat dibangunkan semula bagi kualiti hidup yang lebih baik,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Menurut Halimey, permintaan perumahan di kawasan bandar meningkat dengan mendadak apabila berlaku penghijrahan penduduk dari luar bandar sekali gus mengakibatkan kadar populasi yang terlalu ramai dan tidak seimbang.

“Fenomena ini semakin meruncing apabila kos sara hidup di bandar termasuk di kawasan DUN Seri Setia terus meningkat secara tidak sekata berbanding kenaikan dalam pendapatan penduduk.

“Ini menjadikan generasi muda tidak mampu untuk memiliki rumah. Justeru, menjadi keutamaan saya untuk mengatasi isu perumahan rakyat yang menjadi masalah sejak sekian lama,” katanya.

Jelas Halimey, pembangunan semula di kawasan perumahan lama boleh mencontohi projek pembangunan semula yang pernah dilaksanakan di Kampung Kerinchi, di kawasan Lembah Pantai.

“Saya percaya ini antara kaedah penyelesaian yang berkesan bagi menangani masalah perumahan yang berlaku di DUN Seri Setia.

“Malah, saya juga akan mengambil kira masalah segelintir penduduk yang tidak mampu membeli rumah atas faktor tiada pendapatan tetap atau mereka yang lanjut usia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 11:37 AM