GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Sabran Md Sani


TINDAKAN berani orang awam memberkas dua daripada tiga lelaki berjaya membantu polis menyelesaikan kes rompakan kedai runcit di Indahpura, Kulai, hari ini.

Dalam kejadian 1 pagi itu, tiga lelaki bersenjatakan parang dan kayu merompak kedai runcit dan melarikan wang tunai serta barangan peribadi pekerja dan pemilik kedai namun ditahan ketika cuba melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek merompak barang kemas, wang tunai dan telefon bimbit milik dua individu di kedai berkenaan membabitkan kerugian kira-kira RM9,000.

Katanya, dalam kejadian itu, orang awam yang menyaksikan kejadian tampil membantu namun suspek bertindak agresif dalam usaha melarikan diri.

“Berikutan itu orang awam menggunakan kekerasan minimum dan dua daripada tiga suspek berusia 33 dan 37 tahun diberkas.

“Seorang suspek dapat meloloskan diri dengan Proton Waja warna kelabu; malangnya, nombor pendaftaran kenderaan itu tidak dapat dicam orang ramai,” katanya di Kulai, hari ini.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan dua mangsa cedera dengan pembantu kedai runcit warga Bangladesh berusia 36 tahun luka di tangan, bengkak di muka dan luka di kaki kanan.

“Kami masih belum merakam percakapan mangsa kerana dirawat di Hospital Kulai namun keadaannya stabil. Selain itu, kami gagal memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam premis itu kerana dirosakkan suspek sebelum melarikan diri.

“Bagaimanapun pengadu mengesahkan akan cuba mendapatkan rakaman kerana dekoder CCTV tidak mengalami kerosakan,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan reman selama enam hari sehingga 27 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

“Berikutan itu, kami menubuhkan satu pasukan khas untuk mengesan dan menangkap suspek yang masih bebas,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan rekod mendapati suspek berusia 37 tahun mempunyai empat rekod jenayah termasuk ceroboh rumah, ugutan jenayah, merompak dan samun berkumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 10:33 PM