DUA penjenayah yang ditahan orang ramai selepas merompak kedai runcit di Taman Desa Idaman, Kulai, semalam.
DUA penjenayah yang ditahan orang ramai selepas merompak kedai runcit di Taman Desa Idaman, Kulai, semalam.
Ibrahim Isa


TINDAKAN berani orang ramai wajar dipuji apabila nekad bergelut dengan dua perompak bersenjatakan parang yang baru menyamun kedai runcit di Taman Desa Idaman, Kulai di sini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, dalam kejadian jam 9.45 pagi kelmarin, dua penjenayah terbabit masuk dalam kedai sebelum seorang daripada mereka mengacu parang ke arah pekerja kedai itu.

“Pada masa sama, seorang daripada suspek mengambil beberapa barang termasuk kad tambah nilai berjumlah lebih RM1,000, wang tunai, telefon bimbit dan beberapa kotak rokok bernilai RM1,775 sebelum kedua-duanya melarikan diri.

“Bagaimanapun, pekerja kedai berkenaan mengejar sebelum bergelut dengan seorang suspek, manakala seorang lagi penjenayah melarikan diri.

“Suspek kedua bagaimanapun berpatah balik ke kedai itu untuk membantu rakannya melepaskan diri. Bagaimanapun, orang awam yang melihat kejadian datang membantu sebelum menahan kedua-dua penjenayah,” katanya.

Menurutnya, seorang suspek cedera di tapak tangan akibat terkena parang yang dibawanya selepas senjata itu dirampas pekerja kedai berkenaan.

Katanya, polis menjalankan siasatan di tempat kejadian dan merakam percakapan semua saksi.

“Selain menahan dua suspek lelaki warga tempatan berusia 24 dan 22 tahun itu, kami turut merampas motosikal Yamaha RXZ dipercayai milik penjenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek direman sehingga 22 September ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 5:15 AM