GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Sabran Md Sani

POLIS tidak menolak dua lelaki warga asing yang mati ditembak dalam kes samun di Bukit Batu, Jalan Sedenak menghala ke FELDA Sungai Sayong, dekat Kulai, pada 21 September lalu dipercayai ahli Geng Rantau.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, berkata ia berdasarkan modus operandi geng itu melakukan samun pada awal pagi.

“Geng Rantau ini biasanya melakukan kegiatan samun berkumpulan antara tiga hingga lima individu.

“Malah, mereka dikenal pasti menjadikan laluan berkenaan sebagai lokasi kegiatan samun berkumpulan,” katanya di Kulai, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti identiti dua mayat yang ditembak mati dalam kejadian itu.

“Kami masih dalam proses mengenal pasti suspek dan sedang meneliti cap jari untuk mengenalpasti identiti mereka.

“Tidak pasti suspek dari negara mana kerana dokumen pengenalan diri tidak ditemui dalam kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, polis masih memburu saki-baki anggota kumpulan berkenaan.

Dua lelaki itu maut ditembak selepas cuba melarikan diri dengan turut melepaskan tembakan ke arah kenderaan polis.

Dalam kejadian itu, suspek menaiki Proton Waja dikesan polis pada jam 4.15 pagi, 21 September lalu di Taman Manis, Kulai.

Mereka kemudian memecut kenderaan sehingga ke Bukit Batu, Jalan Sedenak menghala ke Felda Sungai Sayong.

Dalam jarak dua kilometer itu, beberapa das tembakan dilepaskan suspek dari dalam kereta berkenaan, selain cuba merempuh Proton Wira dinaiki polis.

Bagi mempertahankan diri, anggota polis melepaskan tembakan ke arah suspek, sebelum kereta suspek terbabas dan mereka ditemui maut dalam kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 7:33 PM