ANGGOTA polis mengiringi Mohamad Fitri (tengah) yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi Miri, hari ini atas kesalahan membunuh Setiausaha PKR Miri, Bill Kayong, dua tahun lalu. FOTO Mohd Rizal Abdullah.
ANGGOTA polis mengiringi Mohamad Fitri (tengah) yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi Miri, hari ini atas kesalahan membunuh Setiausaha PKR Miri, Bill Kayong, dua tahun lalu. FOTO Mohd Rizal Abdullah.
Mohd Rizal Abdullah


MAHKAMAH Tinggi Miri hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Mohamad Fitri Fauzi, 30, selepas didapati bersalah terhadap tuduhan membunuh Ssetiausaha PKR Miri, Bill Kayong, dua tahun lalu.

Mohamad Fitri kelihatan tenang ketika hukuman itu dijatuhkan Hakim Ravinthran N Paramaguru.

Hukuman dijatuhkan selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif, Mohamad Fitri didakwa membunuh Bill Kayong pada 8.20 pagi di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar raya di Jalan Miri-Kuala Baram pada 21 Jun 2016.

Bill Kayong atau nama Islamnya, Mohd Hasbie Abdullah ditembak mati di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Seramai empat suspek termasuk Mohamad Fitri, dan seorang daripadanya bergelar Datuk ditahan sejak 2016 bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Tiga daripada tertuduh dibebaskan pada 6 Jun 2017 selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh bersubahat dengan Mohamad Fitri.

Sementara itu, pekarangan Kompleks Mahkamah Miri dipenuhi saudara dan rakan arwah Bill Kayong bagi mendengar keputusan akhir itu.

Malah, sepasukan pegawai dan anggota Unit Tempur Ringan (LSF) turut ditempatkan di pekarangan kompleks mahkamah sebagai langkah keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 7:39 PM