ZAINUDIN (kiri) menyerahkan Buku Serah Tugas Ketua Polis Daerah Port Dickson kepada Mohd Faisal sambil disaksikan Noor Azam (tengah). FOTO Mohd Khidir Zakaria
ZAINUDIN (kiri) menyerahkan Buku Serah Tugas Ketua Polis Daerah Port Dickson kepada Mohd Faisal sambil disaksikan Noor Azam (tengah). FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


KETUA Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad mengaku sukar untuk senyum sepanjang perkhidmatannya selama hampir 41 dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, pada hari terakhir perkhidmatannya hari ini senyuman tidak lekang dari bibirnya ketika diraikan dalam Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Port Dickson di Perkarangan Pejabat Polis Daerah di sini.

“Sepanjang perkhidmatan saya selama 40 tahun lapan bulan dalam PDRM, saya memang sukar untuk senyum.

“Saya tidak tahu kenapa saya susah senyum, mungkin kerana sejak mula berkhidmat, saya selalu kena marah... tetapi akhirnya saya sedar marah itu teguran untuk kebaikan sehingga diberi kepercayaan menjadi Ketua Polis Daerah Port Dickson,” katanya yang bersara wajib, hari ini.

Zainudin, 60, mula berkhidmat dalam pasukan pada tahun 1977 sebagai konstabel selama 11 tahun sebelum diserapkan menjadi pegawai.

Zainudin berkata, dia gembira dapat menamatkan perkhidmatannya di tempat dilahirkan di daerah ini.

“Saya mula berkhidmat di Negeri Sembilan pada 2002 sehingga bersara di Port Dickson iaitu tempat lahir saya.

“Jiwa saya tidak dapat lari daripada PDRM kerana ia sudah sebati dan pastinya ia satu kenangan yang tidak mungkin saya lupakan sepanjang hayat,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, beliau menyerahkan tugas kepada timbalannya, Deputi Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor sebagai pemangku.

Hadir sama Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohamad Mat Yusop.

Pada majlis sama, turut menyerahkan tugas Pengerusi PERKEP Daerah Port Dickson, Khalijah Yaacob yang menyerahkan tugas kepada Pemangku Pengerusi PERKEP Daerah Port Dickson, Asisten Superintendan Norimy Mohamad Nor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 1:49 PM