LEE (kiri) menyerahkan buku tulisannya kepada Aidi Sham sambil diperhatikan King Lim di Majlis Berbuka Puasa anjuran MCPF Daerah Port Dickson di Tasik Villa Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
LEE (kiri) menyerahkan buku tulisannya kepada Aidi Sham sambil diperhatikan King Lim di Majlis Berbuka Puasa anjuran MCPF Daerah Port Dickson di Tasik Villa Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Aktivis masyarakat dan Pengasas Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye mengumumkan hasrat mahu bersara selepas lebih 53 menceburi bidang politik dan aktiviti sosial.

Berusia 76 tahun, Lee pernah menjadi wakil rakyat Bukit Nenas dan Serdang, selain menjadi Ahli Parlimen Bukit Bintang antara 1978 hingga 1990 dan terus aktif dalam kerja kemasyarakatan sehingga kini.

Lee yang juga Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat berkata, sebelum bersara sepenuhnya daripada aktiviti kemasyarakatan, beliau menulis sebuah buku setebal 312 muka surat dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin sebagai kenangan sepanjang berkhidmat bersama masyarakat.

"Buku ini siap dalam tempoh lima tahun dan menceritakan kehidupan peribadi saya sepanjang 53 tahun menceburi bidang politik dan aktiviti sosial.

"Kerjaya politik saya berakhir pada 1990 tetapi tanggungjawab dan komitmen kepada masyarakat dan negara masih berjalan dan saya tidak pernah 'bersara' sehingga kini, kali ini saya mahu rehat sepenuhnya," katanya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa anjuran MCPF Daerah Port Dickson di Tasik Villa di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi MCPF Port Dickson, Datuk Seri Dr King Lim Chin Fui, Timbalan Pengerusi MCPF Port Dickson, Datuk Mohd Faizal Ramli, Pengerusi MCPF Negeri Sembilan, Datuk Fadzil A Bakar dan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed.

Lee berkata, beliau sudah hampir 30 tahun berkhidmat dalam MCPF bersama polis dan masyarakat demi kepentingan orang ramai.

"MCPF adalah NGO yang akan saya kenang sebagai pengalaman yang begitu bernilai dan manis sejak ditubuhkan pada 1993.

"Kali ini sudah sampai masanya saya mengundurkan diri dan memberi kesempatan kepada orang lain memimpin MCPF pula," katanya.

Lee berkata, persatuan itu banyak membantu polis khususnya menjaga keselamatan.

Beliau berkata, berkhidmat dalam MCPF memerlukan kekuatan diri dan perlu ada integriti serta bersedia membawa mesej yang penting kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 11:44 AM