Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


POLIS yakin dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 14 kes pecah rumah dilaporkan di Port Dickson dengan penangkapan seorang lelaki di Tanjung Kling, Melaka, pada 27 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Zainudin Ahmad berkata, suspek berusia 27 tahun itu menjadi buruan sejak Oktober tahun lalu berkaitan jenayah dilakukannya di sekitar Teluk Kemang.

Katanya, suspek yang bekerja sebagai pemandu bot pelancong itu dikatakan menyasarkan penghuni di kondominium yang menyebabkan semua mangsa mengalami kerugian dianggarkan RM50,000.

“Kami menjalankan Op Pintu untuk mengesan suspek dan memberkasnya di kampungnya pada 5.30 petang.

“Siasatan mendapati sebaik memecah masuk kediaman, suspek memikul barang curi seperti televisyen, komputer riba dan mesin pencetak. Dia dengan bersahaja membawa barangan itu sambil ke tempat kerja di sebuah pantai di Telok Kemang sejauh satu kilometer,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Derma Darah sempena Hari Polis ke-211 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor serta lebih 100 anggota yang menderma darah.

Zainudin berkata, selain barang elektronik, suspek turut mencuri barangan kemas dan telefon bimbit yang dijual di kedai emas, pajak gadai serta kedai telefon bimbit di daerah ini.

“Soal siasat ke atas suspek menyaksikan dia mengaku terbabit 14 kes pecah masuk kondominium di Port Dickson.

“Polis turut menahan sembilan pembeli warga tempatan berusia 20 hingga 30-an mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan barang kes,” katanya.

Zainudin berkata, semua mangsa diminta tampil ke IPD Port Dickson bagi melakukan pengecaman barangan milik mereka yang dilarikan.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek melakukan kegiatan itu berseorangan dan dia akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat mengikut Sekyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk kediaman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 12:48 PM
ZAINUDIN (dua dari kanan) menunjukkan barangan dirampas daripada suspek pecah kondominium pada sidang media di IPD Port Dickson, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman
ZAINUDIN (dua dari kanan) menunjukkan barangan dirampas daripada suspek pecah kondominium pada sidang media di IPD Port Dickson, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman