MD Noor  dan  Wan Sabariah (tiga dari kanan) diraikan rakan setugas dari Balai Polis Bandar Kinrara Puchong, Selangor di Kompleks TH sebelum berangkat ke Tanah Suci.
MD Noor dan Wan Sabariah (tiga dari kanan) diraikan rakan setugas dari Balai Polis Bandar Kinrara Puchong, Selangor di Kompleks TH sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Samadi Ahmad


Sepang: Seorang anggota polis yang bakal bersara tidak lama lagi bersyukur apabila impian menunaikan rukun Islam kelima itu sejak sembilan tahun lalu bersama isteri akhirnya tercapai apabila terpilih menjadi tetamu Allah tahun ini.

Sarjan Mejar Md Noor Hamid, 59, dari Balai Polis Bandar Kinrara, Puchong dan isteri, Wan Sabariah Wan Ismail, 57, yang juga pesara anggota polis bersyukur apabila menerima tawaran daripada Tabung Haji (TH) dalam tempoh akhir perkhidmatannya sebagai anggota pasukan keselamatan.

Md Noor berkata, ia saat paling dinantikan bersama isteri kerana tahun ini adalah tahun bermakna buat dirinya selepas 42 tahun berkhidmat sebagai anggota polis.

“Tidak dapat digambarkan perasaan saya ketika ini apabila terpilih dan dijemput menjadi tetamu Allah. Sebelum ini, saya pernah membuat rayuan tiga kali dengan TH,” katanya ketika ditemui di Kompleks TH di sini, sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Sebelum berangkat, Md Noor dan isteri yang bersara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dirai ketuanya yang juga Ketua Balai Polis Bandar Kinrara, Asisten Superintendan Mohd Ambia Nordin bersama beberapa rakan setugas.

Md Noor yang berasal dari Tanjong Bendahara, Alor Setar, Kedah berkata, dia begitu teruja ke Tanah Suci dan bersyukur masih diberikan kesihatan tubuh badan yang baik untuk menunaikan ibadat haji.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, peluang diperoleh untuk menunaikan ibadat haji itu anugerah paling istimewa kepada dirinya memandangkan dia bersara wajib ketika tempoh mengerjakan ibadat berkenaan nanti.

“Segala persiapan sudah dilakukan sejak awal lagi bagi mengelak sebarang masalah, semoga semuanya dipermudahkan Allah setibanya saya di sana nanti.

“Di Tanah Suci nanti, saya akan berdoa agar diberi kesihatan dan kesejahteraan sepanjang masa di samping Allah mengurniakan ketabahan dan ketenangan kepada diri saya selepas bersara nanti,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ambia berkata, beliau dan rakan sepejabat mengucapkan selamat berangkat dan selamat bersara kepada Md Noor dan isteri serta mengharapkan beliau mendapat haji mabrur.

Beliau berkata, Mohd Noor adalah ketua operasi dan anggota yang berdisiplin serta dedikasi dalam tugas.

“Selepas dia bersara nanti, kami kehilangan anggota yang juga rakan yang sebelum ini banyak membantu dalam tugas serta menjadi contoh kepada anggota lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 5:02 AM