Meor Riduwan Meor Ahmad


KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani merancang membangunkan jelapang padi baharu di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, langkah itu antara beberapa strategi dirancang kementerian itu dalam usaha memastikan keselamatan makanan negara terjamin dan mengurangkan pergantungan bahan makanan import pada masa depan.

Beliau berkata, setakat ini perbincangan lanjut langkah itu sedang dilakukan antara pihaknya dengan agensi berkaitan.

“Saya sudah melontarkan cadangan ini di Sarawak dan Sabah untuk jadikan jelapang padi baharu selain memodenkan jelapang padi di semenanjung di bawah MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda dan KADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu).

“Langkah ini mungkin sederhana dan jangka panjang, tetapi perbincangannya mengambil masa.

“Terpulang kepada kerajaan, menteri dan Exco pertanian untuk bincang di negeri masing-masing. Fokus kita untuk melihat bagaimana tanah ini dapat dioptimumkan bagi memenuhi hasrat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis ramah mesra Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama media di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Kuala Lumpur, hari ini.

Salahuddin berkata, selain membangunkan jelapang padi baharu, pelaksanaan semula projek ternakan lembu fidlot akan dilakukan dalam memastikan keselamatan bekalan makanan negara.

“Bagi projek lembu fidlot ini, satu laporan kajian akan diperoleh akhir September depan yang akan digunakan bagi memastikan ia berjaya dan tidak mengulangi kegagalan projek sebelum ini.

“Kita bercadang memenuhi pasaran 30 peratus bekalan daging tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada daging import,” katanya.

Salahuddin berkata, pihaknya menerima banyak cadangan bagi projek ternakan fidlot yang akan dilaksanakan di beberapa tanah satelit dikenal pasti di seluruh negara.

“Rundingan dengan pihak berminat untuk membuat pelaburan dalam projek ini sedang dijalankan.

“Saya yakin kita tidak ada banyak masalah berkaitan tapak projek dan boleh berbincang dengan Menteri Besar mengenai tanah satelit ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin menegaskan pihaknya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKHEP) sentiasa bekerjasama menerusi jawatankuasa khas dalam memantau bekalan makanan sentiasa mencukupi terutama menjelang musim tengkujuh.

“Kami akan memantau bekalan makanan supaya mencukupi dengan harga dikawal oleh KPDNHEP dari semasa ke semasa.

“Apapun kekangan dan kemarahan rakyat mengenai kenaikan harga, kami masih berusaha dan memastikan bekalan cukup pada harga mampu dimiliki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 6:54 PM