DATUK Salahuddin Ayub (empat kanan) dan Pengerusi FAMA, Ishak Ismail (lima kanan) melihat replika Pasar Tani sempena Majlis Pecah Tanah Agromall di Pasar Tani Borong Puchong. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
DATUK Salahuddin Ayub (empat kanan) dan Pengerusi FAMA, Ishak Ismail (lima kanan) melihat replika Pasar Tani sempena Majlis Pecah Tanah Agromall di Pasar Tani Borong Puchong. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Mohamad Hussin


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membangunkan sebuah pasar raya Agromall pertama berkonsepkan produk agromakanan membabitkan kos sebanyak RM8 juta yang dijangka siap Disember 2020.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata, seramai 250 usahawan industri asas tani (IAT) akan mendapat faedah daripada pembangunan Agromall itu dengan sasaran jualan RM18 juta setahun.

Beliau berkata, projek yang dibangunkan di tapak seluas 1.2 hektar menempatkan lot jualan produk agro makanan, pameran produk IAT selain dilengkapi kemudahan bilik sejuk, tandas, surau serta parkir.

“FAMA telah membangunkan banyak outlet pasaran selaras dengan peranannya memperluaskan saiz pasaran produk agromakanan.

“Ia bagi memastikan produk agromakanan tersedia manakala petani dan pengeluar menerima harga munasabah dan menguntungkan.

“Selain itu, pengguna akan dijamin bekalan berkualiti dengan harga berpatutan,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah Agromall Puchong, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi FAMA Ishak Ismail dan Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak.

Salahuddin berkata, projek ini akan menjadi saluran pasaran alternatif dengan pengwujudan outlet runcit premium bagi peningkatan jualan produk agro makanan dan produk IAT keluaran usahawan tempatan.

“Dianggarkan terdapat lebih dari 1,500 unit simpanan stok (SKU) produk dikeluarkan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) IAT namun penguna sukar mendapatkannya di pasaran.

“Pada masa ini, aktiviti perniagaan telah dijalankan di bangunan pasar sementara di tapak ini membabitkan 18 usahawan dengan purata nilai jualan RM1 juta sebulan.

“Pembangunan projek ini akan memberi fokus kepada produk IAT manakala komoditi produk segar akan diniagakan di lot sedia ada,” katanya.

Menurutnya, Agromall Puchong apabila siap kelak akan beroperasi secara harian setiap hari membabitkan aktiviti jualan secara runcit, borong dan dalam talian selain berperanan sebagai ‘pickup point’.

“Projek ini berupaya meningkatkan pendapatan usahawan sebanyak 30 peratus dengan penjimatan lima hingga 20 peratus kepada pengguna.

“Kementerian yakin pembangunan projek ini akan menjadi pemangkin di dalam pembangunan sistem pemasaran, pengedaran dan logistik yang cekap dan berkesan seterusnya mempromosi industri agromakanan sebagai satu perniagaan menguntungkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 6:15 PM