Anggota polis dibantu penduduk mengangkat mayat mangsa yang ditemui mati dipercayai menggantung diri di sebuah rumah di Flat Templer, Lobak. FOTO Ihsan Pembaca
Anggota polis dibantu penduduk mengangkat mayat mangsa yang ditemui mati dipercayai menggantung diri di sebuah rumah di Flat Templer, Lobak. FOTO Ihsan Pembaca
Helmi Irwadi Mohd Nor


LELAKI dipercayai putus cinta ditemui mati tergantung di rumahnya di Blok A, Flat Templer, Lobak, Seremban, semalam.

Sumber polis berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditemui tergantung pada tali beg di pintu bilik oleh ibunya yang berusia 69 tahun pada 3.05 petang sejurus pulang dari tempat kerja sebagai tukang cuci.

Katanya, berdasarkan temubual dengan wanita terbabit, lelaki yang bekerja sebagai perunding perkahwinan itu tidak mengidap sebarang penyakit tetapi mengalami tekanan emosi kerana baru putus cinta.

Menurutnya, lelaki itu difahamkan sudah lama bercinta bersama teman wanitanya malah mereka merancang untuk berkahwin.

"Bagaimanapun di saat-saat akhir, wanita itu memutuskan hubungan menyebabkan lelaki itu tidak dapat menerima kenyataan sehingga dia mengalami tekanan emosi," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh ketika dihubungi memaklumkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu dan mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) untuk bedah siasat bagi membantu kes yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 3:46 PM