KARYA Safirah, A Tribute To MH370 di Balai Seni Visual Negara pada 2016. FOTO Arkib NSTP
KARYA Safirah, A Tribute To MH370 di Balai Seni Visual Negara pada 2016. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

KELUARGA Kapten Zaharie Ahmad Shah menarik nafas lega apabila Laporan Siasatan Keselamatan bagi penerbangan MH370 Malaysia Airlines yang dikeluarkan semalam menunjukkan ‘tiada perkara negatif’ mengenai juruterbang pesawat yang kemudiannya dilaporkan hilang itu, lebih empat tahun lepas.

Kakak beliau, Sakinab Ahmad Shah berkata beliau berasa lega dan gembira kerana nama adik lelakinya itu dibersihkan daripada segala tuduhan.

“Saya sangat gembira sebab namanya sudah dibersihkan, bagaimanapun sebagai penyudah, kami mahu pesawat itu ataupun bangkainya dijumpai,” katanya.

Dia berkata demikian kepada media selepas mengikuti taklimat mengenai laporan itu oleh Pasukan Penyiasat Keselamatan Annex 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia bagi MH370 di Putrajaya, semalam.

Sakinab berkata, laporan semalam membuktikan tiada perkara yang negatif berkaitan karakter, ciri-ciri tugas, rekod profesional dan keadaan keluarganya sebelum Zaharie menerbangkan pesawat berkenaan.

MH370 hilang daripada paparan radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

​​​​​​​Pesawat 777-200ER itu membawa 12 kru dan 227 penumpang, sebahagian besar daripadanya adalah warganegara China.

Sementara itu, Grace Nathan, anak perempuan Anne Daisy, seorang daripada penumpang MH370, menggesa pihak berkuasa untuk meneruskan pencarian pesawat MH370.

Katanya, kerajaan perlu mempertimbangkan sebarang tawaran daripada mana-mana syarikat yang bersedia untuk mengadakan pencarian pesawat berkenaan atas dasar ‘tiada penemuan tiada bayaran’.

“Matlamat utama kami adalah supaya pencarian MH370 diteruskan bagi mengelak insiden seperti ini berulang di masa depan.

“Kita mesti ingat bahawa berjuta-juta orang menaiki penerbangan setiap hari. Soal keselamatan tidak boleh dipandang remeh,” katanya.

Sementara itu, seorang anggota keluarga kru MH370 yang hanya mahu dikenali sebagai Fong berkata dia tidak puas hati, kecewa dan marah dengan taklimat hari ini disebabkan, menurutnya, taklimat itu hanya untuk memberitahu waris sesuatu yang “mereka sudah tahu.”

“​​​​“Pasukan ini tidak dapat menentukan punca sebenar kehilangan MH370. Apa yang kami mahu tahu adalah sama ada kerajaan akan meneruskan pencarian… kami diberitahu yang kami perlu menunggu keputusan daripada kementerian,” katanya.

Sementara itu, Intan Maizura Othman, isteri pramugara MH370 Mohd Hazrin Mohamed Hasnan, berkata beliau berasa amat terkejut dan marah oleh kerana pasukan penyiasatan gagal menjawab soalan daripada waris semasa taklimat itu berlangsung.

“Sungguh mengecewakan apabila tiada siapa pun dalam taklimat itu yang dapat menjawab soalan kami. Kami berharap ada orang yang boleh jumpa kami dan beritahu kami apa yang berlaku kepada MH370,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 12:37 PM