Tuan Asri Tuan Hussein


ADA kalangan mereka yang sebak dan tidak kurang juga mengalirkan air mata apabila jemaah haji Malaysia diberi sambutan meriah oleh petugas Tabung Haji (TH) ketika tiba di Makkah dari Madinah pada awal pagi Isnin.

Selain paluan gendang tradisional masyarakat Arab, dendangan lagu nasyid dan selawat, lobi hotel turut dihiasi dengan belon, taburan bunga dan hamparan permaidani hijau bagi menyambut ketibaan jemaah.

Sambutan kepada 478 jemaah penerbangan pertama KT1 itu sejurus tiba di Maktab 74 iaitu hotel Abraj Al-Janadriyah pada kira-kira 1 pagi diketuai Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman bersama kira-kira 100 petugas lain.

Jemaah dari Terengganu Hasim Mohd Nor, 61, berkata, dia tidak sangka akan sekali lagi menerima sambutan hebat dan meriah, sebagaimana yang diterimanya ketika tiba di Madinah pada 14 Julai lalu.

"Saya betul-betul tak sangka dan rasa amat terharu kerana kami dilayan seperti VIP, lengkap dengan hamparan permaidani dan taburan bunga mawar.

"Apapun, yang lebih penting ialah kami sudah selamat tiba di bumi Makkah. Alhamdulillah, semoga segala urusan kerja haji kami berjalan lancar dan diterima Allah," katanya.

Siti Mariam Taib, 49, juga dari Terengganu turut terharu dengan sambutan diberikan petugas TH dan bersyukur kerana perjalanan dari Madinah ke Makkah lancar.

"Ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Syukur sangat-sangat impian saya selama 20 tahun akhirnya menjadi kenyataan. Mudah-mudahan segala urusan ibadat selepas ini turut dipermudahkan Allah," katanya.

Biarpun tiba pada awal pagi dan terpaksa mengharungi lebih enam jam perjalanan dengan menaiki 11 bas kesemuanya, urusan bagasi jemaah dipermudahkan apabila beg mereka dibawa secara berasingan oleh ejen tempatan dan diletakkan terus di aras bilik hotel penginapan masing-masing.

Sambutan meriah diberikan kepada jemaah haji di Maktab 74, hotel Abraj Al-Janadriyah
Sambutan meriah diberikan kepada jemaah haji di Maktab 74, hotel Abraj Al-Janadriyah

Sementara itu, Syed Salleh berkata, kumpulan jemaah pertama yang tiba di Makkah itu dibawa menunaikan umrah bermula 6 pagi dan pihaknya juga sudah mengatur pelbagai aktiviti ziarah, selain tujuh sesi ceramah sebagai persiapan menjelang hari wukuf yang dijangka pada 20 Ogos depan.

"Kita berharap pergerakan jemaah yang lancar ini dapat diteruskan sehingga akhir operasi haji. Kumpulan terakhir dijadual tiba di Makkah ialah pada 15 Ogos iaitu melalui penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Jedah," katanya.

Sehingga Ahad, 20 penerbangan membawa jemaah haji dari Kuala Lumpur telah tiba di Madinah membabitkan hampir 10,000 jemaah keseluruhannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 10:31 AM