Syuhada Choo Abdullah


Makkah: Pasport semua jemaah haji Malaysia akan disimpan oleh Pejabat Operasi Maktab di Makkah sebaik saja mereka tiba di bangunan penginapan masing-masing di sini hingga pulang kelak.

Pengarah Operasi Maktab bagi Musim Haji 1444H/2023M Mohd Sawal Abong berkata, langkah itu bertujuan memudahkan sebarang urusan membabitkan dokumen berkenaan, terutama pertukaran penerbangan pulang sekiranya diperlukan oleh jemaah haji.

"Keseluruhan pasport jemaah haji akan diuruskan Pejabat Operasi Maktab bagi memudahkan mereka mendapatkan pertukaran penerbangan yang dimohon. Langkah ini sudah dimulakan sejak tahun lalu.

"Sebelum ini, kita terpaksa pergi ke Pejabat Muassasah untuk mendapatkan pasport sekiranya perlu menguruskan pertukaran penerbangan pulang jemaah haji. Tahun ini, kita akan menguruskannya di sini (Pejabat Operasi Maktab) bagi memudahkan perjalanan jemaah haji.

"Semua pasport itu akan disimpan dengan selamat," katanya kepada pemberita di ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di Makkah, Abraj Al-Janadriyah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Sawal berkata, pusat perkhidmatan maktab sudah diaktifkan dan bersiap siaga sepenuhnya untuk menyambut ketibaan 565 jemaah haji pertama daripada kumpulan penerbangan (KT) 1 dan 2 yang dijadualkan tiba di Makkah dari Madinah, esok.

Beliau berkata, jemaah haji terbabit kemudian akan dibawa ke bangunan penginapan mereka di Abraj Al-Janadriyah untuk menikmati sajian makanan dan berehat sebelum ke Masjidil Haram bagi melaksanakan ibadah umrah, dengan diuruskan oleh Pejabat Operasi Maktab dengan kerjasama Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS).

"Tahun ini, terdapat 12 bangunan penginapan menempatkan sembilan maktab yang dibahagikan kepada empat zon. Setiap maktab mempunyai kekuatan 12 petugas. Selain itu, setiap bangunan penginapan jemaah haji turut disediakan pelbagai perkhidmatan seperti klinik, pos bagasi, kafe dan bimbingan.

"Pejabat Operasi Maktab juga akan menguruskan segala aktiviti jemaah haji di Tanah Suci, termasuk menjaga kebajikan dan keselamatan mereka, ziarah ke lokasi masyair dan tempat bersejarah di sekitar Makkah, serta memberi panduan ibadah haji dan taklimat pergerakan, terutama ketika masyair," katanya.

Pada tempoh kemuncak kelak, Mohd Sawal berkata, bilangan Dhuyufurrahman Malaysia yang akan tiba di Makkah dari Madinah dan Jeddah boleh mencecah hingga kira-kira 1,200 orang sehari.

Sambil memaklumkan tiada laporan jemaah haji mengalami masalah kesihatan sehingga terpaksa dimasukkan ke wad, setakat ini, Mohd Sawal berkata, jarak antara bangunan penginapan mereka dengan dataran Masjidil Haram adalah tidak lebih 1,000 meter.

Ditanya mengenai kemungkinan ada jemaah haji yang uzur dan tidak mampu berjalan dari maktab ke Masjidil Haram pula, beliau berkata, pengurus operasi maktab akan mengenal pasti golongan itu.

Katanya, mereka akan diurus berdasarkan keupayaan fizikal, termasuk melaksanakan ibadah umrah pada masa sesuai dan dibantu.

GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 5:16 PM