MOHD Zawawi bersama peserta program Insan Selangor Briged Wanita Prihatin. FOTO Syarafiq Abd Samad
MOHD Zawawi bersama peserta program Insan Selangor Briged Wanita Prihatin. FOTO Syarafiq Abd Samad
Tharanya Arumugam


CALON PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, akan menumpukan kepada pembangunan infrastruktur bagi penduduk di kawasan itu jika menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Mohd Zawawi, 48, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Zawawi, berkata, masih ada jalan di kawasan itu yang tidak diterangi lampu dan boleh mendatangkan bahaya pada waktu malam.

“Masih ada jalan (kawasan Jalan Kebun) tiada lampu dan berbahaya kepada pemandu dan penunggang motosikal pada waktu malam terutama ketika waktu puncak.

“Saya juga sedar mengenai isu dihadapi penduduk di tempat lain di kawasan DUN Sungai Kandis. Satu daripadanya adalah masalah perparitan dan pelupusan sampah haram, saya akan memastikan supaya tindakan diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Insan Briged Wanita Prihatin, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohd Zawawi merancang meneruskan usaha yang dilaksanakan wakil rakyat terdahulu, Mat Shuhaimi Shafiei, terutama di kawasan luar bandar.

“Shuhaimi terkenal sebagai seorang yang sering turun padang untuk bertemu dengan rakyat dan mendengar masalah mereka.

“Beliau mahu memastikan kesejahteraan penduduk di luar bandar terjamin dan mereka mempunyai akses kepada kemudahan asas seperti surau, masjid, jalan raya yang sempurna dan lampu jalan,” katanya.

Mohd Zawawi berkata, isu lain yang akan diberi penekanan adalah masalah kemiskinan dan masyarakat kurang berkemampuan.

Berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya, katanya, Sungai Kandis dianggap kawasan baharu.

“Kami sudah merangka strategi tertentu, termasuk menemui ketua kampung dan cara mendekati penduduk untuk mengetahui masalah mereka. Insya-Allah, kami akan mencari penyelesaian bagi masalah mereka,” katanya.

Kerusi Sungai Kandis kosong selepas kematian Mat Shuhaimi,50 pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Mat Shuhaimi memperoleh 23,998 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi), Mohd Yusof Abdullah dari PAS (7,573 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76 undi).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 7:18 PM