Nurul Izzah bersama Mohd Zawawi beramah mesra bersama orang ramai. FOTO Syarafiq Abd Samad
Nurul Izzah bersama Mohd Zawawi beramah mesra bersama orang ramai. FOTO Syarafiq Abd Samad
Iskandar Shah Mohamed


PKR yakin kemampuan calonnya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, meneruskan legasi terdahulu menerusi pelaksanaan pelbagai program berkebajikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata, untuk memenangi setiap Pilihan Raya Kecil (PRK) sememangnya bukan sesuatu perkara yang dianggap mudah, namun kepemimpinan yakin Mohd Zawawi mampu berbuat demikian.

“Kita tahu bahawa penyandang kerusi DUN ini iaitu Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei adalah figura yang disegani dan dihormati rakyat setempat.

“Kini, legasi itu akan diteruskan oleh Ustaz Zawawi yang turut dikenali sebagai aktivis kemasyarakatan sejak sekian lama dan mempunyai rekod bersih.

“Kita mempercayai kemampuannya untuk memenangi PRK ini dan meminta supaya pengundi memberi sokongan bagi memastikan dasar program berkebajikan dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Dialog Bersama Pemimpin dan Belia: Keseronokan Membuat Kebaikan di Bilik Gerakan Utama PKR di Jalan Bukit Kemuning di sini, malam tadi.

Turut hadir, Ahli Parlimen Batu Pahat yang juga Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Ariffin; Penaung Persatuan Usahawan Digital Selangor (DIGEST), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin; Pengasas Kindness Malaysia, Muhammad Kamarulazizi dan Mohd Zawawi.

Kata Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Mohd Zawawi dianggap calon terbaik dan dipilih kerana berupaya menjadi jurucakap terbaik bagi rakyat Sungai Kandis.

Dalam pada itu, mengulas mengenai program berkenaan, beliau berkata, ia bertepatan dengan hasrat kerajaan yang mahu mendekati rakyat terutama golongan belia dengan aktiviti kemasyarakatan yang menerapkan nilai kasih sayang.

PRK Sungai Kandis diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pertembungan tiga penjuru menanti pada PRK Sungai Kandis antara calon PKR, Mohd Zawawi, Datuk Lokman Noor Adam yang mewakili BN manakala K Murthy bertanding sebagai calon Bebas.

Pada PRU-14, kerusi Sungai Kandis menyaksikan pertembungan empat penjuru apabila Mat Shuhaimi mempertahankan kerusinya dengan mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari, Mohd Yusof Abdullah mewakili PAS manakala Parti Rakyat Malaysia (PRM) diwakili Hanafiah Husin. Mat Shuhaimi memenangi 23,998 undi, dengan majoriti undi sebanyak 12,480, mengalahkan Kamaruzzaman (11,518 undi, Mohd Yusof (7,573 undi) dan Hanafiah yang memperoleh 76 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 1:38 AM