ANTARA ucapan yang dimuat naik di Twitter menggunakan #TunM93
ANTARA ucapan yang dimuat naik di Twitter menggunakan #TunM93
Rizanizam Abdul Hamid


TANDA pagar #TunM93 sempena ulang tahun kelahiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke 93 trending di tangga teratas Twitter dengan jumlah 9,114 ‘tweets’, sehingga jam 8 malam ini.

Rata-rata ‘netizen’ turut menggunakan semua platform media sosial melalui Twitter, Instagram dan Facebook dengan ucapan tahniah dan doa yang turut dititipkan buat isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Ucapan terima kasih, rasa terharu, doa kesihatan dan kesejahteraan memimpin negara ke arah Malaysia baharu dizahirkan penuh kreativiti dan emosi oleh rakyat pelbagai kaum serta peringkat umur.

Tidak cukup dengan kata-kata itu, ada antara mereka berkongsi pelbagai gambar dan video berserta petikan meluahkan penghargaan masing-masing dan harapan buat masa depan negara.

Dr Mahathir mencipta sejarah dunia apabila menjadi perdana menteri tertua di dunia dan dipilih rakyat sebanyak dua kali menjadi pemimpin negara iaitu Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 bermula 16 Julai 1981, pada usia 56 tahun sehingga 31 Oktober 2003

Pada usianya 93 tahun, beliau dipilih menjadi Perdana Menteri ke-7 bermula 10 Mei lalu susulan peralihan kuasa daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Salah seorang pengguna Twitter, Jeffe mendoakan kedua-dua pasangan itu panjang umur dan sihat untuk kembali meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat.

“Happy Birthday PM, Tun Dr Mahathir Mohamed (93rd on 10th July) dan Tun Dr Siti Hasmah (92nd on 12th July). May both live longer and prosper. Let's make Malaysia great again," katanya.

Pengguna Fyda pula melahirkan rasa terharu dengan ucapan; “Selamat ulang tahun kepada PM Tun Dr Mahathir Mohamed yang saya cintai.

“Semoga Allah memberkati anda sentiasa dengan berkat-Nya. Tiada siapa yang boleh membayar balik semua sumbangan besar untuk tanah Malaysia yang diberkati ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 8:43 PM