JAMAL. FOTo Arkib NSTP
JAMAL. FOTo Arkib NSTP
Amirul Aiman Hamsuddin


IBU kepada Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berharap penahanan anaknya tidak dipanjangkan memandangkan beliau sudah lama tidak pulang berjumpa keluarga.

Maimunah Saman, 79, berkata, beliau terkejut selepas menerima berita Jamal ditahan Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) jam 6.15 petang semalam.

“Siapa tidak sedih, anak yang dikandung sembilan bulan 10 hari menghilangkan diri sehingga air mata ini kering kerana teringat akan dia (Jamal) saban hari.

“Orang luar boleh berkata apa sahaja mengenai anak saya, tetapi naluri hati ibu lebih tahu perangai sebenar anak ini," katanya kepada NSTP, hari ini.

Maimunah berkata, beliau dan anak perempuannya Datin Maskiah Md Yunos, 57, mengetahui lokasi Jamal selepas salah seorang kenalan rapat memberitahunya, Jumaat lalu.

“Kebetulan, saya dan Maskiah ke Kuala Lumpur kerana urusan doktor di hospital swasta dan pada hari yang sama, kami beraya di rumah kenalan sehinggalah menerima perkhabaran ini.

“Saya bersyukur Jamal masih berada dalam keadaan sihat dan berharap kami sekeluarga disatukan semula seperti tahun sebelumnya," katanya.

Sementara itu, Maskiah berkata, Jamal sempat melepaskan kerinduan terhadap Maimunah meskipun melalui WhatsApp dan berjanji akan pulang ke rumah sebaik sahaja selesai masalah yang dihadapi.

Dia turut kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang dilihat membenci Jamal seolah-olah melakukan kesalahan besar di negara ini.

“Bagi saya, Jamal meletakkan kepentingan rakyat dan negara jauh berbanding dirinya sendiri. Contohnya, isu pesta arak, saya lihat Jamal lantang dan mengutuk sekeras-kerasnya akan perkara ini sehingga tiada lagi pesta dilakukan secara terang-terangan.

“Saya mengharapkan kerajaan hari ini memaafkan kesalahannya. Ini kerana beliau tidak menimbulkan sebarang keganasan hingga memberi mudarat kepada masyarakat dan negara," katanya.

Berita berkaitan:

'Jamal Yunos ditahan POLRI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 6:47 PM