MAIMUNAH (kiri) membuat persiapan kenduri kesyukuran di kediamannya di Kampung Londang, Masjid Tanah. STR/HASSAN OMAR
MAIMUNAH (kiri) membuat persiapan kenduri kesyukuran di kediamannya di Kampung Londang, Masjid Tanah. STR/HASSAN OMAR
Hassan Omar


BAKAL jemaah haji terkilan tidak dapat menunaikan ibadah haji bersama dua kakaknya berikutan hanya dia seorang yang menerima surat tawaran TH.

Maimunah Husin, 54, berkata, dia membuat pendaftaran haji bersama kakaknya Siti Mariam, 69, dan Mahaya, 62, 10 tahun lalu dan berharap dapat menunaikan haji bersama mereka.

“Memang sayu hati ini apabila mengenangkan dua kakak saya tidak menerima tawaran yang sama, sedangkan saya amat berharap kami dapat pergi ke Tanah Suci tiga beradik.

“Namun, saya reda dengan hak dan ketentuan Allah SWT dalam memilih siapa yang diseru untuk menjadi tetamu-Nya, selain turut berdoa semoga mereka dipilih pada tahun depan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Londang, Masjid Tanah, Melaka, semalam.

Maimunah yang juga anak bongsu daripada sembilan beradik menerima surat tawaran menunaikan ibadah berkenaan pada pertengahan Mei lalu.

“Selepas bersara sebagai operator kilang, saya hanya menikmati pendapatan kecil, tetapi hasrat untuk menunaikan ibadah haji melampaui segala kesukaran.

“Setiap kali menerima gaji, saya menabung ke dalam akaun TH kerana benar-benar ingin menjejakkan kaki di Tanah Haram Makkah dan Madinah untuk menunaikan ibadah itu,” katanya.

Segala persiapan menjelang penerbangannya ke Jeddah, Arab Saudi pada 10 Ogos depan sudah dilakukan dan kini lebih menumpukan kepada usaha memperkuat mental.

“Saya berdoa semoga Allah SWT memudahkan tugas saya dalam menyempurnakan perkara wajib dan fardhu haji,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 2:49 PM