WAN Mohammed Saupee beramah mesra bersama pengamal media dalam majlis  berbuka puasa. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
WAN Mohammed Saupee beramah mesra bersama pengamal media dalam majlis berbuka puasa. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur tidak hanya memberi tumpuan untuk menahan pendatang asing tanpa izin (Pati) tetapi majikan yang mengaji kumpulan berkenaan.

Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya menetapkan indeks prestasi utama (KPI) bagi penahanan majikan yang melakukan kesalahan itu.

"Inisiatif JIM adalah bagi menangani kebanjiran warga asing dengan tumpuan diberikan di 20 kawasan hotspot di ibu kota ini seperti Pasar Pudu, Jalan Silang, KLCC dan Kota Raya.

"Di setiap lokasi ini, kita akan tempatkan seorang pegawai kanan bagi memantau kawasan itu dengan setiap mereka ditetapkan KPI setiap bulan membabitkan tangkapan majikan yang menggajikan Pati," katanya ketika berucap pada Majlis Iftar bersama Pengamal Media di Pejabat JIM Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Wan Mohammed Saupee berkata, sebanyak 871 operasi dijalankan pihaknya sepanjang tahun lalu dengan 7,601 warga asing diperiksa dan 2,137 Pati ditahan.

Menerusi operasi itu, katanya, pihak JIM Kuala Lumpur menahan lima majikan dan 27 majikan dikompaun membabitkan kutipan sebanyak RM428,500 sepanjang tahun lalu.

"Bagi tempoh Januari hingga Mac lalu pula, sebanyak 243 operasi dijalankan membabitkan 1,716 warga asing diperiksa dengan 710 PATI serta 44 majikan ditahan.

"Semua majikan itu membabitkan 43 individu tempatan serta seorang warga Bangladesh yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

"Pada masa sama, 13 kompaun dikeluarkan terhadap majikan membabitkan kutipan sebanyak RM205,700 bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini," katanya.

Beliau berkata, pengamal media memainkan peranan penting dalam membantu pihak JIM Kuala Lumpur menyampaikan maklumat kepada masyarakat berkaitan warga asing.

Katanya, seramai 2.5 juta warga asing mempunyai permit kerja yang sah di seluruh negara dengan 40 peratus daripada mereka berada di Kuala Lumpur.

"Tidak dinafikan ramai dalam kalangan masyarakat mempunyai perspektif menganggap semua warga asing adalah Pati tetapi tidak membabitkan Mat Salleh yang dianggap sebagai pelancong.

"Namun, ada dalam kalangan mereka (Mat Salleh) yang sebenarnya adalah Pati apabila didapati tinggal lebih masa serta salah guna pas dengan melakukan kegiatan menyalahi undang-undang.

"Justeru itu, wartawan boleh menjadi mata telinga dan tangan kecil kepada pihak JIM menerusi penulisan berita bagi memastikan Pati tidak selesa berada di negara ini apabila mereka melanggar undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 9:09 PM