KETUA Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. FOTO Syarafiq Abd Samad
KETUA Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. FOTO Syarafiq Abd Samad
Mohd Anwar Patho Rohman; Mohd Noor Aswad; Fahmy Azril Rosli dan Arfa Yunus


PERGERAKAN Pemuda UMNO mencadangkan supaya diperkenalkan satu akujanji taat setia bagi membendung ahlinya keluar parti.

Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, akujanji taat setia itu sama seperti PAS, tetapi pelaksanaan tidak serupa seperti baiah parti Islam terbesar itu.

Beliau berkata, pelaksanaan akujanji taat setia itu tidak mewajibkan ahlinya berjanji dengan menggunakan talak sebagai jaminan mengekalkan kesetiaan dalam kalangan ahlinya.

“Ia memerlukan mereka menandatangani akujanji dan berikrar bagi membuktikan taat setia terhadap parti.

“Bukan macam itu (baiah talak tiga). Tidak seperti (baiah) PAS,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Pada sidang media, Asyraf Wajdi turut mengulas mengenai visinya selepas diberi mandat sebagai Ketua Pemuda UMNO yang baharu.

Asyraf Wajdi menegaskan beliau akan menekankan lima agenda dalam usaha memartabat dan memperkasakan platform Pemuda UMNO.

Katanya, agenda pertama adalah pengkaderan iaitu melahirkan lebih ramai pemimpin kerana mahu lebih ramai 'Khairy Jamaluddin’, bukannya seorang sahaja.

“Kedua adalah latihan. Ini kerana kita perlu program latihan tepat untuk melatih bakat Pemuda UMNO supaya aspirasi parti dalam dicapai.

“Agenda ketiga pula membina budaya pengetahuan supaya apabila kita bercakap penuh dengan bait-bait pengetahuan dan bukannya sekadar penuh dengan iringan sentimen dan emosi dalam usaha berfungsi sebagai pembangkang yang efektif,” katanya.

Dua lagi agenda, beliau mahu menekankan supaya UMNO kembali ke perkara asas iaitu mengukuhkan nilai kerohanian selain memartabatkan identiti bagi mengelakkan parti tidak ditelan zaman.

Asyraf Wajdi yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga akan membuang ‘pakaian elit’ yang menjadi budaya dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO.

Justeru, beliau bersama pemimpin Pemuda UMNO yang lain akan berkempen dengan mengadakan jelajah di 191 bahagian.

“Kali ini kita akan tidur di rumah Ketua Pemuda Bahagian di kampung-kampung.

“Kita juga mahu buang pakaian elit kerana mahu menjiwai apa mereka rasa dan dengar suara mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 10:43 PM