KETUA Polis Negara ,Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyampaikan ucapan pada majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 13/2018 sempena Hari Raya Aidilftri  di Dewan Theatrette Menara 1, Bukit Aman. FOTO Mohd Yusni Ariffin
KETUA Polis Negara ,Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyampaikan ucapan pada majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 13/2018 sempena Hari Raya Aidilftri di Dewan Theatrette Menara 1, Bukit Aman. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Hasbi Sidek


FAKTOR terbabas sendiri menjadi penyumbang utama kepada punca kemalangan maut sepanjang Op Selamat 13/2018 sempena Aidilfitri lalu apabila mencatatkan 142 kes daripada jumlah keseluruhan sebanyak 235.

Bagaimanapun, kemalangan maut pada Op Selamat kali ini menunjukkan penurunan sebanyak empat kes atau 1.7 peratus berbanding Op Selamat 11/2017 yang mencatatkan 257 kes.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sebanyak 22,411 kemalangan direkodkan sepanjang Op Selamat kali ini berbanding 22,402 kes pada Aidilfitri tahun lalu sekali gus mencatatkan peningkatan sebanyak sembilan kes.

"Kemalangan maut mencatatkan 235 kes dengan jumlah kematian yang direkodkan sebanyak 248 kes, berbanding 257 kematian pada tahun lalu, menunjukkan penurunan sebanyak sembilan kes.

"Analisis terhadap Op Selamat 13 menunjukkan faktor terbabas sendiri menjadi punca utama kemalangan maut, dengan catatan sebanyak 142 kes.

"Faktor lain yang menjadi penyumbang kemalangan maut adalah melawan aliran trafik, cuba memotong kenderaan, cuai ketika keluar atau masuk simpang, mengekori terlalu rapat dan membuat pusingan U," katanya ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 13/2018 Sempena Aidilfitri di Dewan Theatrette, Menara 1, Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Kontinjen Pulau Pinang mendapat anugerah Kontinjen Terbaik dalam Op Selamat pada kali ini, manakala Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seberang Perai Utara merangkul kemenangan bagi kategori Daerah Terbaik.

Mohamad Fuzi berkata, pengguna motosikal menjadi penyumbang utama bagi kes kematian Op Selamat kali ini yang mencatatkan 148 kes, diikuti pengguna kereta, pejalan kaki, pengguna lori dan pengguna van.

Beliau berkata, sebanyak 343,863 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang Op Selamat 13 yang merangkumi 241,791 saman Pol 170A dan 102,072 saman Pol 257.

"Bagi kejayaan narkotik, seramai 231 individu diperiksa membabitkan pengguna jalan raya di seluruh negara dan daripada jumlah itu, seramai 48 individu didapati positif dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 11:56 AM