KERETA mangsa remuk di bahagian depan dan belakang akibat dilanggar sebuah lori sebelum terperosok di bawah sebuah lagi lori di Jalan Cochrane, Maluri, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
KERETA mangsa remuk di bahagian depan dan belakang akibat dilanggar sebuah lori sebelum terperosok di bawah sebuah lagi lori di Jalan Cochrane, Maluri, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Nurul Hidayah Bahaudin


DUA beranak terselamat selepas kereta dinaiki mereka terperosok di bawah lori di Jalan Cochrane, Maluri, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian 12.45 tengah hari itu, kereta dinaiki wanita berusia 44 tahun bersama anak lelakinya berusia 14 tahun itu dari Jalan Sungai Besi menghala ke Jalan Cochrane.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Superintendan Sarifudin Mohd Salleh berkata, kemalangan itu membabitkan dua lori dan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di lokasi berkenaan.

“Ketika kereta berhenti di persimpangan lampu isyarat itu, ia dirempuh lori dari arah belakang.

“Pelanggaran itu menyebabkan kereta mangsa terperosok di bawah sebuah lagi lori yang berada di depan kenderaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sarifudin berkata, kedua-dua mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari kereta itu dengan bantuan orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

Beliau berkata, dua beranak itu tidak cedera walaupun kereta mereka remuk di bahagian depan dan belakang akibat kemalangan itu.

“Ketiga-tiga pemandu kenderaan terbabit sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 11:40 PM