Gambar daripada rakaman video kejadian lori simen seret kereta di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur  yang tular di media sosial. Foto Ihsan Pembaca
Gambar daripada rakaman video kejadian lori simen seret kereta di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur yang tular di media sosial. Foto Ihsan Pembaca
Hidayatul Akmal Ahmad


PEMANDU kereta berdepan detik cemas selepas kenderaannya dilanggar sebelum diseret sebuah lori simen di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur semalam.

Bagaimanapun, Kong Yoke Hong, 56, tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian 4.30 petang itu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Superintendan Sarifudin Mohd Salleh berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku ketika mangsa yang memandu Perodua Axia itu dalam perjalanan ke Puchong.

Menurutnya, selepas melalui persimpangan lampu isyarat di Jalan Klang Lama, mangsa yang berada di lorong kiri dikatakan mengubah haluan ke kanan memasuki lorong lori simen berkenaan.

“Pemandu lori terbabit pula dikatakan tidak perasan seterusnya melanggar bahagian belakang sisi kanan kereta mangsa hingga ia berpusing.

“Kereta berkenaan pula tersangkut pada bahagian depan lori simen berkenaan sebelum ia diseret,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Sarifudin, hujan lebat menyebabkan pemandu lori berkenaan tidak perasan sebelum berasa gegaran pada lorinya.

“Pada mulanya pemandu lori berasakan kenderaan dipandunya melanggar lubang dan meneruskan perjalanan sehingga ada kenderaan lain membunyikan hon.

“Pemandu lori itu kemudiannya memperlahankan kenderaan sebelum perasan sudah melanggar sebuah kereta,” katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959.

Kejadian itu turut tular selepas satu rakaman video berdurasi 10 saat mengenai kejadian itu tersebar di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 8:54 AM