KEADAAN kemalangan lori merempuh lima kenderaan lain di Jalan Ipoh semalam.
KEADAAN kemalangan lori merempuh lima kenderaan lain di Jalan Ipoh semalam.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pemandu lori 'lalok' yang merempuh lima kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh di sini, semalam ditahan reman empat hari.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, lelaki berusia 25 tahun terbabit ditahan polis sejurus merempuh kenderaan jam 2.40 petang,

"Polis mendapat perintah menahan reman pemandu lori selama empat hari bermula hari ini sehingga Jumaat.

"Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sarifudin dilaporkan berkata, siasatan awal dilakukan mendapati lori berkenaan dari arah Jalan Duta menghala ke Sentul gagal dikawal dan merempuh dengan laju lima kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat.

Beliau berkata, pemandu Perodua Myvi cedera ringan di bahagian muka dan mendapatkan rawatan di zon hijau Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala pemandu empat lagi kenderaan tidak cedera.

Katanya, ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu lori didapati positif dadah jenis methamphetamin dan amphetamin.

Difahamkan, pemandu kereta Perodua Myvi berusia 45 tahun terperangkap dalam kenderaannya namun berjaya diselamatkan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

Kemalangan turut membabitkan sebuah lagi Perodua Myvi serta Proton X70, Honda HRV dan Peugeot 208 FL.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 2:44 PM