ROSLI Md Ali menunjukkan paras banjir kali ini. FOTO Zulfa Mohamad
ROSLI Md Ali menunjukkan paras banjir kali ini. FOTO Zulfa Mohamad
Zulfa Mohamad


“KALAU banjir paras lutut kami sudah biasa. Tapi, kali ini air hampir cecah bumbung,” kata Rosli Md Ali, 47, antara mangsa banjir di Desa Puri, Tasek Gelugor.

Sabtu minggu lalu, Rosli hanya sempat menyelamatkan kereta dan motosikal manakala barangan lain rosak kerana air naik mendadak.

“Biasanya kalau hujan lebat, rumah saya dan beberapa rumah dekat akan dinaiki air dulu. Kali ini lain. Kami lima beranak terpaksa berpindah," katanya.

Selain sistem siar raya, barangan elektrik dan lebih 20 naskah surah Yasin dan buku agama turut rosak terkena air.

Rosli berkata, kedudukan kampung yang agak rendah selain dekat dengan Sungai Jarak menyebabkan air naik dengan cepat.

“Boleh dikatakan hampir 62 rumah di kampung ini terjejas. Memang kali ini lebih buruk berbanding banjir besar 2003," katanya.

Bagaimanapun, Rosli berkata, dia bersyukur kerana ramai sukarelawan tampil membersihkan rumah mangsa banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 12:13 PM